X

Kindly register in order to view this article
!

Kita sudah hilang jati diri

A
A

INILAH artikel terakhir saya dalam kolum Cetusan di Sinar Harian. Selepas ini, saya akan meneroka bidang penulisan rencana pula di Sinar Harian dan penulisan yang jauh lebih mendalam dalam bentuk buku, khususnya tentang hubungan falsafah dan balaghah al-Quran.

Umat kita sekarang sudah hilang jati diri. Bahkan istilah jati diri pun tidak wujud dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Ia diketepikan pula oleh istilah potensi individu yang dipopularkan oleh ilmuwan Yahudi seperti Carl Rogers, Abraham Maslow, Benjamin Bloom, Daniel Goleman, Peter Salovey dan Howard Gardner.

Pelbagai teori psikologi pendidikan dikemukakan oleh ilmuwan Yahudi seperti teori Learner Centered, Emotional Intelligence, Hierarchy of Needs, Bloom Taksonomi, Multiple Intelligences hanya untuk mencampur aduk kebenaran dan kebatilan serta menyembunyikan kebenaran seperti yang dibongkarkan oleh surah 2:42.

Jati diri sudah dihilangkan secara terancang oleh FPK kerana para profesor pendidikan seperti yang dikatakan oleh Malik Bennabi, begitu mudah dijajah (colonizable) oleh falsafah asing. Puncanya adalah istilah kebenaran sudah diketepikan dalam FPK. Langsung tidak disebut walaupun surah Al-'Asr begitu jelas menunjukkan bahawa resipi untuk menjadi insan yang tidak rugi adalah saling berpesan kepada kebenaran dan kesabaran.

Kamus Oxford pada tahun 2016 telah mengisytiharkan era Pasca Kebenaran (Post Truth) sudah menjadi budaya perdana dengan kebenaran hanya dianggap perkara subjektif.

Bahkan, sistem pendidikan kita sekarang begitu obses dengan ranking komersial. Benarlah kritikan Profesor Ritzer tentang Mcdonaldization of Education. Kita juga biarkan diri kita dijajah oleh kuasa besar seperti Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) yang memperjuangkan falsafah Human Rights melalui perancangannya yang sangat licik iaitu Sustainable Development Goals (Matlamat Pembangunan Lestari/Mampan). Dalam 17 matlamatnya dan penjelasan tentangnya, langsung tidak ditonjolkan istilah kebenaran. Ia adalah Ode Dunia pascakebenaran.

Malangnya kebanyakan profesor pendidikan Muslim kita begitu mudah dijajah sehingga kita bersifat hanya add on kepada usaha kuasa besar. Kita sekadar add on istilah rohani kepada Taksonomi Bloom, matlamat kelestarian UNESCO, Hierarchy of Needs, Teori Learner Centered dan lain-lain. Ad-Din diketepikan kepada ruangan khas iaitu hanya isu rohani yang berkait dengan hati (qalb), bukan dengan kebenaran. Ad-Din hanya diterjemahkan sebagai faith (kepercayaan).

Itulah sebab Dr Maszlee Malik memperkenalkan subjek Falsafah dan Isu Semasa serta Etika dan Peradaban berdasarkan Rukun Negara. Dalam falsafah, dibincangkan makna Kepercayaan Kepada Tuhan iaitu dalam topik Epistemologi (Belief vs Knowledge).

Topik epistemologi pula dikaitkan dengan definisi kebenaran. Kepercayaan yang berlandaskan ilmu bermakna kepercayaan mesti berdasarkan kebenaran. Apakah itu kebenaran? Sekadar soal emosi? Kalau fizikal aku lelaki tetapi emosi aku wanita, kebenarannya adalah ikut suka akulah mana jantina yang aku mahu pilih. Itu potensi aku sebagai individu. Aku masih percaya dan patuh kepada Tuhan yang telah mencipta aku dengan dua potensi tersebut. Malangnya, wujud juga usul Parlimen yang dibawa oleh agamawan untuk menghapuskan subjek falsafah.

Akhir kata, saya doakan agar para profesor pendidikan sedar bahawa pendidikan adalah asas pembinaan insan budiman. Anda akan disoal nanti. Wallahuaklam.

Jati diri sudah dihilangkan secara terancang oleh FPK kerana para profesor pendidikan seperti yang dikatakan oleh Malik Bennabi, begitu mudah dijajah (colonizable) oleh falsafah asing.”

* Xifu Naser ialah Tokoh Pendakwah Perak


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!