Cukup atau tidak duit lepas moratorium

No Image Caption
A
A
A

“BULAN Oktober ini ujian sebenar kita untuk pastikan kita cukup duit atau tidak. Kalau tak cukup, gigit jarilah kami anak-beranak.”

Itulah ayat seorang sahabat penulis sewaktu kami, keseluruhannya seramai lima orang, sedang menghirup teh tarik di sebuah kedai mamak di Bidor, Perak dua bulan lalu.

Dua orang sahabat penulis itu kerjayanya sebagai ‘bos’ iaitu penjual ikan laga yang diternak, manakala dua orang lagi makan gaji dengan syarikat yang terkesan dengan pandemik koronavirus (Covid-19).

Perbualan kami pada hari itu bukan berkisar tentang kisah kenakalan sewaktu kanak-kanak yang lazimnya menjadi perbualan wajib ketika mini reunion tetapi perbualan yang lebih berat berhubung soal ekonomi poket sendiri.

Mereka menunjukkan kira-kira perbelanjaan bulanan dan ada antara mereka menceritakan gajinya negatif selepas membayar hutang kereta, rumah serta bayaran wajib pada setiap bulan. Mujur kata mereka, moratorium menjadi penyelamat.

Dua bulan berlalu dan September adalah bulan terakhir pemberian moratorium atau penangguhan bayaran balik selama enam bulan bagi sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap secara automatik oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bermula 1 April lalu sehingga 30 September ini.

Menurut data BNM, sehingga 20 Julai 2020, lebih 7.7 juta peminjam individu atau 93 peratus daripada kesemua peminjam telah mendapat manfaat daripada moratorium bayaran pinjaman yang bernilai RM38.3 bilion. Dalam tempoh yang sama, sebanyak 243,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau 95 peratus daripada keseluruhan peminjam PKS telah menerima manfaat daripada moratorium dengan nilai berjumlah RM20.7 bilion.

Sepanjang tempoh itu, sahabat penulis dan mungkin seluruh rakyat Malaysia mengambil peluang menjadikan moratorium sebagai simpanan untuk memberi sedikit nafas bermula Oktober yang hanya tinggal sehari lagi.

Artikel Berkaitan:

Memerlukan

Bagi yang menganggap moratorium itu sebagai enam bulan bersuka ria tanpa membuat simpanan, maka Oktober bermulanya bulan penjerut leher. Mahu tidak mahu, itulah yang terpaksa dihadapi.

Menyedari kepayahan yang bakal dialami rakyat, kerajaan melaksanakan Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar yang lebih fokus khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan.

Dua golongan itu adalah individu-individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan baharu. Mereka akan menikmati moratorium lanjutan bersasar untuk tempoh tiga bulan. Selepas tiga bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank bergantung kepada situasi individu masing-masing.

Kedua, individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas atau berkurangan akibat Covid-19. Bayaran ansuran bulanan mereka akan dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji yang bergantung kepada jenis pinjaman.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika pengumuman Kerangka Inisiatif Tambahan Khas pada 23 September lalu mendedahkan bahawa sebanyak 98 peratus permohonan moratorium lanjutan dan bantuan bank secara bersasar diluluskan.

Sehingga 11 September, pihak bank telah berhubung dengan seramai 1.4 juta daripada dua juta peminjam dan lebih 380,000 daripada mereka telah mengesahkan bahawa mereka memerlukan bantuan pembayaran balik pinjaman, manakala bakinya sedang mempertimbangkan opsyen pembiayaan yang ada.

Muhyiddin melalui perutusan itu juga menggesa orang ramai yang masih belum memohon untuk segera menghubungi institusi perbankan masing-masing bagi membuat permohonan.

Semalam, kami berlima berkumpul semula di sebuah restoran masakan tomyam dan sedikit senyuman terpancar di raut wajah mereka.

“Aku dapat pengurangan bayaran rumah. Jadilah untuk tempoh enam bulan,” katanya.

Selepas enam bulan, bagaimana nasib kita? Adakah kita akan diberi nyawa buat kali ketiga? Persoalan itu kita tinggalkan. Apa yang penting, jangan jadikan berakhirnya moratorium sebagai punca pergaduhan suami isteri yang kesempitan wang seperti yang diungkapkan oleh Pakar Psikologi Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Mariani Md Nor baru-baru ini.

* Nurul Riduan Nor Ashaha ialah Wartawan Premium Sinar Harian