‘Doktor robot’ berkhidmat di Kelantan

Dr Faisal Rafiq (empat dari kiri) dan Dr Mohammed Azman (dua dari kiri) melihat Robot HAL yang membantu menjalankan rawatan pemulihan pesakit di Hospital USM hari ini.
Dr Faisal Rafiq (empat dari kiri) dan Dr Mohammed Azman (dua dari kiri) melihat Robot HAL yang membantu menjalankan rawatan pemulihan pesakit di Hospital USM hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Enam unit Robot Suit Hybrid Assistive Limb (HAL) Exoskeleton atau robot ala-Cyborg dari Jepun yang popular digunakan dalam bidang perubatan rehabilitasi untuk merawat pesakit terlantar kini terdapat di Kelantan.

Robot berteknologi baharu yang mengaplikasikan signal bioelektrik neuro motor itu dimiliki oleh Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM), sekali gus muncul sebagai hospital universiti pertama di negara ini menawarkan perkhidmatan rehabilitasi robotik.

Naib Canselor USM, Profesor Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, program Perkhidmatan Rehabilitasi Robotik HAL Cyberdyne di Hospital USM bermula pada 8 September lalu dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Beliau berkata, sehingga kini seramai 18 pesakit menjalani rawatan menggunakan perkhidmatan Robot HAL di Hospital USM, antaranya mereka yang mengalami kecederaan saraf tunjang atau otak seperti lumpuh serta penyakit neurodegeneratif.

“Pesakit akan menjalani terapi Robot HAL sebanyak sembilan sesi atau bergantung pada tahap kecederaan yang dialami untuk dibantu sehingga pulih dan dapat kembali meneruskan kehidupan seperti manusia normal.

“Sesi terapi dijalankan lima jurupulih berkemahiran dalam rawatan teknologi Cybernics hasil latihan intensif yang diperolehi di Pusat Rehabilitasi Perkeso di Tun Abdul Razak, Melaka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Perkhidmatan Rehabilitasi Robotik Hospital USM di Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengarah Hospital USM, Profesor Datuk Dr Ahmad Sukari Halim.

Dr Faisal berkata, perkhidmatan rehabilitasi robotik di hospital itu bermanfaat meningkatkan kualiti perubatan untuk pesakit terlantar akibat strok dan seumpamanya khusus di Kelantan dan negeri-negeri pantai timur bagi mempercepatkan proses pemulihan.

Artikel Berkaitan:

“Perkhidmatan ini ada disediakan oleh Perkeso tetapi lokasinya lebih jauh dari pantai timur iaitu di Melaka. Jadi, dengan wujudnya rehabilitasi robotik akan memberi kemudahan kepada pesakit di negeri ini dan negeri yang berhampiran.

“Usaha juga diharap menjadi titik permulaan untuk pembangunan penyelidikan dan teknologi baharu dalam bidang perubatan saraf,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mohammed Azman berkata, USM dipilih sebagai hab memperkembangkan perawatan rehabilitasi melalui program 'Return To Work' yang membantu pencarum Perkeso menerusi pendekatan pengurusan hilang upaya.

“Sejak 2014, Pusat Rehabilitasi Perkeso Melaka sudah berjaya merawat sejumlah 2,500 pekerja dan berharap akan memberi manfaat kepada lebih ramai pencarum.

“Pusat berkenaan juga adalah satu-satunya lokasi penempatan Robot HAL di Asia Tenggara yang turut menjadi pusat perkembangan dan latihan 'Cybernyc Treatment' pertama di Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata, Perkeso dan USM menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada 30 Ogos 2019 seterusnya memeterai Memorandum Perjanjian (MOA) pada 4 Mac lalu berkait kerjasama berkenaan.