Dua syarikat jalin kerjasama edar vaksin Covid-19

Gambar hiasan. - Foto sumber internet
Gambar hiasan. - Foto sumber internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Anak syarikat Solution Group Bhd (Solution Group) iaitu Solution Biologics Sdn Bhd (Solbio) telah menjalin kerjasama dengan CanSino Biologics Inc (CanSinoBIO) yang berpangkalan di China untuk memasarkan dan mengedarkan vaksin koronavirus (Covid-19) di Malaysia.

Vaksin 'Adenovirus Type 5 Vector' itu akan didaftarkan selepas menamatkan ujian klinikal fasa ketiga dengan Agensi Kawal Selia Farmaseutikal Kebangsaan Malaysia (NPRA), kata Solution Group dalam kenyataan hari ini.

"Kami harap dapat vaksin itu secepat mungkin supaya CanSinoBIO menamatkan ujian tersebut yang mematuhi peraturan Amalan Pengilangan yang Baik Semasa di bawah Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (USFDA),” kata Pengarah Urusan Solution Group, Barry Lim.

CanSinoBIO adalah satu daripada sembilan kumpulan penyelidikan vaksin Covid-19 yang berada dalam ujian klinikal antarabangsa untuk membangunkan vaksin Covid-19 dan terapi baru untuk keperluan perubatan yang belum dipenuhi.

Solbio menandatangani perjanjian pendaftaran, pembuatan dan pengkomersialan dengan CanSinoBIO pada 23 September lepas.

Selepas memperoleh Sijil Kebenaran Pasaran daripada NPRA, perjanjian tersebut akan membolehkan Solbio memulakan pemasaran dan pengedaran vaksin tersebut.

Sementara itu, Solbio dan CanSinoBIO juga telah membentuk jawatankuasa kerja bersama untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek.

"Kami telah berhubung dengan semua pihak yang relevan, termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia," kata Solution Group. - Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Vaksin Covid-19 mesti boleh diakses semua negara, orang ramai