Peter Anthony letak jawatan Presiden SAFA

No Image Caption
A
A
A

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony hari ini mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Beliau berkata, peletakan jawatan itu berkuatkuasa serta-merta.

"Dengan situasi dan semua yang sedang berlaku termasuk kesibukan saya dalam urusan politik, saya rasa perlu berehat buat sementara waktu.

"Justeru itu, saya dengan ini mengumumkan perletakan jawatan sebagai Presiden SAFA berkuatkuasa serta merta bermula hari ini," katanya dalam kenyataan ringkas di Kota Kinabalu malam ini.

Peter turut merakamkan penghargaan kepada semua yang terbabit dalam menerajui pentadbiran SAFA bersamanya bermula penghujung 2018 lalu.

Menurutnya, beliau telah cuba melakukan yang terbaik dan termampu bagi pasukan Sabah dan berharap SAFA akan terus maju bersama anggota pentadbiran baharu pada masa akan datang.

Terdahulu, kehadiran Peter berjaya membuka lembaran baru kepada SAFA apabila berjaya membebaskan persatuan itu daripada bebanan hutang jutaan ringgit yang diwarisi dari peneraju sebelumnya.

Dalam tempoh setahun, SAFA di bawah beliau berjaya menamatkan kemarau juara selama 23 tahun apabila skuad utama Sabah berjaya menjulang gelaran juara Liga Premier 2019.

Artikel Berkaitan:

Gelaran juara itu sekali gus mengembalikan Sabah ke saingan utama bola sepak negara di Liga Super musim ini selepas tujuh tahun bergelut keluar dari saingan kelas dua Liga Perdana.

Sementara itu, Peter berkata, krisis Covid-19 yang dihadapi negara sejak Mac lalu telah menjejaskan perancangan pihaknya until pembangunan SAFA.

"Bukan mudah untuk bangkit selepas setengah tahun saingan Liga Super berehat tetapi Sabah sudah kembali dengan kemenangan 3-2 ke atas Melaka United di Stadium Likas Ahad lalu.

"Tahniah buat pasukan kerana akhirnya dapat mencatat kemenangan seterusnya membuka semula peluang untuk sekurang-kurangnya kekal dalam saingan Liga Super musim depan," katanya.

Peter berkata, beliau meninggalkan persatuan itu dalam keadaan baik dan berharap ia dapat diteruskan serta dimantapkan lagi oleh Presiden SAFA baharu nanti.