Persiaran Shorea mula dibuka tengah malam ini

Izham (tiga dari kiri) ketika majlis gimik pembukaan Persiaran Shorea bersama tetamu kehormat yang hadir.
Izham (tiga dari kiri) ketika majlis gimik pembukaan Persiaran Shorea bersama tetamu kehormat yang hadir.
A
A
A

ARA DAMANSARA - Isu kesesakan lalu lintas di sekitar Saujana Utama dan Elmina Green dijangka berkurangan susulan pembukaan Persiaran Shorea berhampiran Pusat Bandar Elmina bermula jam 12 tengah malam ini.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim, berkata, pembukaan persiaran sepanjang 4.43 kilometer itu bakal memberi manfaat kepada lebih 200,000 penduduk setempat di dua kawasan terlibat yang sebelum ini berdepan kesesakan lalu lintas.

Beliau berkata, pengguna jalan raya dari Saujana Utama akan mendapat akses utama ke Lebuhraya Koridor Guthrie yang dijangka dapat mengurangkan masa perjalanan mereka.

"Selain itu, pembukaan Persiaran Shorea yang menelan kos RM60 juta ini juga dapat menghubungkan kawasan baharu dan kawasan sedia ada.

"Penduduk di Elmina Green mendapat manfaat akses ke Elmina Central Park dengan penjimatan masa 20 minit," katanya selepas Majlis Perasmian Pembukaan Persiaran Shorea di Seksyen U15 hari ini.

Hadir sama ialah Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican, Ahli Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman.

Sebelum ini, pembukaan persiaran tersebut berdepan kelewatan selama setahun berikutan lembu dan kerbau yang berkeliaran serta dikhuatiri memberi risiko kepada pengguna lalu lintas.

Difahamkan, pembukaan Persiaran Shorea ini juga bakal membantu dalam penyambungan perjalanan pengguna jalan raya dari Pusat Bandar Elmina ke Lebuhraya Damansara-Shah Alam (Dash) yang dijangka siap akhir tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Izham berkata, kerajaan Selangor tidak melengahkan pembukaan laluan berkenaan namun aspek keselamatan pengguna lalu lintas perlu diutamakan.

"Kita sediakan kemudahan infrastruktur dan dalam masa ambil pertimbangan terhadap penternak di sini.

"Disebabkan itulah proses pembukaan laluan ini mengambil sedikit masa dan saya percaya ia akan membantu penyuraian trafik khususnya di Saujana Utama," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk Saujana Utama boleh tarik nafas lega

Jalan akan dibuka, kesesakan sekitar Saujana Utama selesai