Covid-19: Sarawak perketat syarat perjalanan

JPBN Sarawak hari ini mengetatkan syarat perjalanan masuk ke negeri itu selepas terdapat peningkatan kes positif Covid-19 di Sabah.
JPBN Sarawak hari ini mengetatkan syarat perjalanan masuk ke negeri itu selepas terdapat peningkatan kes positif Covid-19 di Sabah.
A
A
A

KUCHING - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini mengetatkan syarat perjalanan masuk ke negeri itu selepas terdapat peningkatan kes positif Covid-19 di Sabah.

Pengerusi JPBN yang juga Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini berkata, bagi perjalanan memasuki Sarawak melalui Sabah dan Labuan, semua rakyat Sarawak, pemegang pas pemastautin tetap dan pemegang pas visa negeri itu perlu memohon kebenaran masuk dengan mengisi secara dalam talian borang ‘EnterSarawak’.

“Mereka akan dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah atau Home Surveillance Order (HSO) selama 14 hari dan diberi wristband, manakala ujian swab rT-PCR akan diambil semasa ketibaan di lapangan terbang atau pada hari kedua dan hari ke-10 serta kos akan ditanggung oleh kerajaan Sarawak,” katanya pada sidang media Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi mereka yang telah membuat ujian rt-PCR tiga hari sebelum masuk ke Sarawak dan keputusan adalah negatif, ujian swab rt-PCR akan diambil pada hari ke-10 sahaja dan kos itu turut akan ditanggung oleh kerajaan negeri Sarawak.

“Bagi prosedur transit lapangan terbang sebelum meneruskan perjalanan, semua penumpang dari Sabah dan Labuan tidak dibenarkan keluar dari balai pelepasan serta arahan kuarantin HSO akan dikeluarkan di ‘First Point Of Entry’ dan perlu memakai wristband.

“Sekiranya destinasi terakhir mereka adalah di kawasan pedalaman dan jauh dari klinik kesihatan yang menyediakan kemudahan untuk mengambil sampel Covid-19, mereka akan dikuarantin di hotel atau pusat kuarantin yang telah ditetapkan,” kata Uggah.

Sementara itu, warganegara Malaysia yang berasal dari Semenanjung, Sabah, Labuan dan warga asing yang memasuki Sarawak melalui Sabah atau Labuan perlu memohon kebenaran masuk dengan mengisi borang ‘EnterSarawak’ secara dalam talian serta melampirkan keputusan ujian Covid-19 tiga hari sebelum perjalanan, bagi kelulusan kemasukan ke Sarawak.

“Mereka juga akan diberi pas masuk yang dihadkan selama lima hari sahaja dan harus melampirkan tiket penerbangan perjalanan pulang.

Artikel Berkaitan:

“Mereka yang tidak melampirkan keputusan ujian rT-PCR Covid-19 yang sah dalam tiga hari sebelum kemasukan tidak akan diberi kelulusan masuk ke Sarawak,” katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: 115 kes baharu direkodkan, Sabah sumbang kes tertinggi