TYT Sabah ucap tahniah kepada Hajiji

Tun Juhar Mahiruddin hari ini bersetuju melantik Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu. - Foto Bernama
Tun Juhar Mahiruddin hari ini bersetuju melantik Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin hari ini bersetuju melantik Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

“Saya ucap tahniah kepada Datuk Hajiji dan saya persetujui sebagai Ketua Menteri yang baharu untuk mengangkat sumpah pada esok hari,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan surat jemputan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Ketua Menteri Sabah Ke-16 kepada Hajiji, di Istana Negeri di sini.

Sejurus selesai penyampaian surat jemputan itu, Hajiji turut menghadiri raptai Istiadat Angkat Sumpah yang dijadual berlangsung di Dewan Istiadat Istana Negeri, pada jam 10 pagi esok.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini sebulat suara menamakan Hajiji, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sulaman, sebagai calon Ketua Menteri Sabah yang baharu.

GRS memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan), pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 apabila memperoleh 38 daripada keseluruhan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ini.

Sementara itu ketika ditemui pemberita selepas penerimaan surat itu, Hajiji berkata, beliau akan menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin, bagi memenuhi mandat yang diterima daripada rakyat Sabah.

“Terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun (Juhar) kerana beliau telah menjemput saya untuk menerima surat pelantikan sebagai Ketua Menteri Negeri Sabah...esok saya telah dimaklumkan saya (angkat sumpah) dan timbalan-timbalan ketua menteri dahulu,” katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Hajiji terima watikah pelantikan Ketua Menteri Sabah

Hajiji dinamakan sebagai Ketua Menteri Sabah