9,000 telur ayam terpaksa dibuang

Kira-kira 9,000 telur ayam di sebuah pasar mini terpaksa dibuang berikutan terlalu lama disimpan dalam kedai akibat PKPD Pentadbiran di Zon Melor Ambangan Heights di Sungai Petani.
Kira-kira 9,000 telur ayam di sebuah pasar mini terpaksa dibuang berikutan terlalu lama disimpan dalam kedai akibat PKPD Pentadbiran di Zon Melor Ambangan Heights di Sungai Petani.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sebuah pasar mini di sini terpaksa membuang kira-kira 9,000 biji telur ayam yang sudah busuk akibat tidak terjual disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Zon Melor Ambangan Heights, Bandar Amanjaya.

Pengurus operasi pasar mini berkenaan, Tan Wei Din, 28, berkata, kesemua telur ayam itu merupakan stok yang diterima sebelum arahan pelaksanaan PKPD pentadbiran di Zon Melor yang kemudian dilanjutkan selama dua minggu.

Menurutnya, pihaknya tidak dapat menyelamatkan kesemua stok telur ayam serta barangan lain di kedai berkenaan berikutan arahan penutupan kedai oleh pihak berkuasa sejak pelaksanaan perintah kawalan di kawasan itu bermula 28 Ogos lalu.

"Semalam sudah tamat PKPD Zon Melor secara rasminya setelah sebulan penduduk dikuarantinkan. Jadi pagi ini baru kami boleh datang kedai. Kita periksa stok dan mendapati telur ayam ini memang sudah busuk," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Berikutan itu, Wei Din berkata, kerja-kerja pembersihan dilaksanakan bermula pagi tadi, namun kedai juga beroperasi seperti biasa.

Pengusaha bengkel, Lim Kok Wooi memulakan hari pertama operasi hari ini setelah sebulan tidak dibenarkan beroperasi.
Pengusaha bengkel, Lim Kok Wooi memulakan hari pertama operasi hari ini setelah sebulan tidak dibenarkan beroperasi.

Dalam masa sama, beliau turut menjangkakan sambutan pelanggan kurang dalam tempoh beberapa hari, namun yakin bahawa penduduk sekitar khususnya dari Ambangan Heights akan mula datang ke kedai bagi mendapatkan barangan keperluan harian seperti biasa selepas ini.

Sementara itu, peniaga benih dan anak pokok, Hashimah Abd Halim, 47, berkata, dia dan suami terkejut apabila mendapati gerainya dipecah masuk pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, beberapa anak pokok selain peralatan besi yang ditinggalkan sejak gerai berkenaan tidak beroperasi disyaki dicuri.

"Kami terima musibah ini sebagai ujian berganda. Disebabkan tinggal di kawasan PKPD, kami tidak dibenarkan keluar. Nak tengok anak pokok pun tidak boleh kerana kami akur arahan kerajaan untuk duduk di rumah.

"Sebelum PKPD, kami baru sahaja masukkan stok anak pokok baharu. Pagi ini kita dapati sebilangan kecil sudah layu dan ada yang mati. Itu yang sedih sangat," katanya.

Bagi pengusaha bengkel, Lim Kok Wooi, 39, berkata, dia amat teruja untuk memulakan operasi kerana sudah sebulan 'bercuti'.

Premis perniagaan di Zon Melor Ambangan Heights yang lenggang akibat PKPD sebelum ini, mula dilalui kenderaan hari ini.
Premis perniagaan di Zon Melor Ambangan Heights yang lenggang akibat PKPD sebelum ini, mula dilalui kenderaan hari ini.

Menurutnya, biarpun perniagaan yang diusahakan sejak 10 tahun lalu itu terjejas namun, tetap akur dengan arahan kerajaan selain bimbang dengan penularan Covid-19.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian di sekitar premis perniagaan Zon Melor hari ini mendapati tiada lagi sekatan jalan raya dan laluan tersebut mula dilalui kenderaan.

Peniaga juga dilihat membersihkan premis masing-masing dan bersedia menerima pelanggan sejak pagi setelah PKPD Zon Melor ditamatkan bermula 12 tengah malam semalam.

Bermula 28 Ogos lalu, tiga zon diperintahkan menjalani PKPD dengan hanya perniagaan asas sahaja dibenarkan beroperasi dalam kawasan terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPDP Zon Melor tamat hari ini