JPN Perak mohon peruntukan RM1 juta

Razman (kanan) mendengar penerangan daripada seorang pelajar Kolej Vokasional Kerian sempena Program Bicara TVET di Kolej Vokasional Kerian, Bagan Serai semalam.
Razman (kanan) mendengar penerangan daripada seorang pelajar Kolej Vokasional Kerian sempena Program Bicara TVET di Kolej Vokasional Kerian, Bagan Serai semalam.
A
A
A

BAGAN SERAI - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak memohon peruntukan sebanyak RM1 juta menerusi Belanjawan Negeri tahun hadapan bagi melaksanakan program peningkatan pencapaian pelajar lulus mata pelajaran bahasa Melayu dan Sejarah.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria berkata, pada 2017 hingga 2019, JPN telah mendapat peruntukan RM150,000 hingga RM200,000 bagi program peningkatan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagaimanapun, katanya, tahun ini tiada peruntukan untuk melaksanakan program Layak Sijil berkenaan disebabkan pandemik koronavirus (Covid-19).

"Peningkatan peratus layak sijil di negeri ini telah direkodkan berlaku setiap tahun sejak 2014, namun tidak dapat mengatasi 90 peratus kerana peningkatan lulus bagi mata pelajaran bahasa Melayu dan Sejarah tidak seimbang.

Razman (kiri) meninjau keadaan Kolej Vokasional Kerian sempena Program Bicara TVET di Kolej Vokasional Kerian, Bagan Serai semalam.
Razman (kiri) meninjau keadaan Kolej Vokasional Kerian sempena Program Bicara TVET di Kolej Vokasional Kerian, Bagan Serai semalam.

"Oleh itu, pelbagai program peningkatan akademik perlu dilaksanakan sepanjang tahun bagi memastikan murid lulus kedua-dua subjek ini dan layak mendapat Sijil SPM apabila tamat persekolahan di Tingkatan Lima.

"Bentuk program ini akan kita bincangkan termasuk kemungkinan menyediakan bahan-bahan pembelajaran di kelas dan sebagainya," katanya pada Program Bicara Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET) di Kolej Vokasional Kerian di sini hari ini.

Razman berkata, tahun ini JPN Perak menyasarkan murid Layak Sijil ialah 86.40 peratus dengan peratusan lulus bagi Sejarah sebanyak 88.02 peratus, manakala bahasa Melayu 94.03 peratus.

Artikel Berkaitan:

Pencapaian pelajar yang lulus dalam mata pelajaran Sejarah mencapai 85.44 peratus pada 2018 dan 86.83 peratus pada 2019, manakala bahasa Melayu mencapai 91.67 peratus pada 2018 dan 93.03 pada 2019.