Fasa ketiga untuk jemaah umrah warga asing

AYAT FB: Arab Saudi akan pilih negara yang dibenarkan untuk menghantar jemaah pada 1 November depan

Para jemaah umrah perlu mengisi butiran peribadi untuk prosedur masuk ke Masjidil Haram di Makkah melalui aplikasi 'I'tamarna' bagi memastikan kesihatan dan keselamatan mereka. - Foto: AFP
Para jemaah umrah perlu mengisi butiran peribadi untuk prosedur masuk ke Masjidil Haram di Makkah melalui aplikasi 'I'tamarna' bagi memastikan kesihatan dan keselamatan mereka. - Foto: AFP
A
A
A
Info:

>Di bawah fasa pertama, rakyat tempatan dan ekspatriat dibenarkan melakukan ibadah umrah pada kapasiti 30 peratus bermula 4 Oktober ini.

>Ia meliputi 6,000 jemaah sehari bertepatan dengan langkah berjaga-jaga yang dilaksanakan di Masjidil Haram di Makkah.

>Hanya 12 kumpulan terdiri daripada 500 jemaah dibenarkan menunaikan ibadah umrah dalam tempoh 24 jam.

------------

RIYADH - Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Muhammad Saleh Banten semalam mengumumkan Kementerian Kesihatan akan memilih negara yang dibenarkan untuk menghantar jemaah umrah.

Kenyataan itu dibuat selepas Kementerian Dalam Negeri mengesahkan Riyadh akan membenarkan warga asing melaksanakan ibadah umrah yang akan dilakukan secara berperingkat di bawah fasa ketiga berkuat kuasa 1 November depan.

Menerusi wawancara di stesen TV bersama saluran al-Ekhbariya, Benten menyatakan negara itu akan menyediakan laluan elektronik khas untuk ketibaan dan penerbangan pulang para jemaah haji pada musim akan datang.

Ketika disoal tentang langkah menyambung semula ibadah umrah kepada jemaah tempatan pada 4 Oktober ini, beliau memberitahu hanya 12 kumpulan jemaah dibenarkan melakukan umrah dalam tempoh 24 jam di bawah fasa pertama.
Artikel Berkaitan:


"Mereka akan dibahagikan kepada kumpulan yang bakal diiringi seorang profesional kesihatan. Hanya jemaah berusia antara 18 dan 65 tahun dibenarkan menunaikan ibadah umrah di bawah fasa pertama ini," jelasnya sambil menambah tiada bayaran dikenakan untuk permit umrah.

Menurutnya, jemaah umrah juga perlu mengisi butiran peribadi untuk prosedur masuk ke Masjidil Haram di Makkah melalui aplikasi 'I'tamarna' bagi memastikan kesihatan dan keselamatan mereka.

Warga tempatan dan ekspatriat bersama keluarga mereka di Saudi dibenarkan memuat turun aplikasi umrah tersebut yang disediakan sejak kelmarin untuk pengguna iOS dan Android.

Difahamkan, aplikasi 'I'tamarna' perlu dimuat turun kira-kira tujuh hari sebelum ibadah umrah fasa pertama bermula. - Agensi