MAIK lancar Pelan Strategik 2020-2030 perkasa hala tuju

Tengku Muhammad Rizam (kanan) dan Timbalannya, Zulkifle Ab Rahman menunjukkan buku Pelan Strategik MAIK 2020-2030 di MAIK, Lundang, hari ini.
Tengku Muhammad Rizam (kanan) dan Timbalannya, Zulkifle Ab Rahman menunjukkan buku Pelan Strategik MAIK 2020-2030 di MAIK, Lundang, hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) melancarkan Pelan Stategik 2020-2030 bagi memperkasakan hala tuju dan komitmen badan itu sebagai sebuah institusi agama yang efektif, progresif dan komprehensif.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz berkata, 'blueprint' yang mempunyai enam teras utama itu akan menjadi panduan yang membawa manfaat kepada masyarakat.

"Ia merupakan satu blueprint yang terperinci dan berfokus. Ia juga penanda aras untuk jangka masa sepuluh tahun akan datang melibatkan organisasi MAIK.

"Pelan ini turut melibatkan penstrukturan di MAIK sekali gus membuktikan tanggungjawab kita lebih efektif. Kita turut memperkenalkan unit data, unit komunikasi korporat bagi memastikan setiap urusan ini dapat dilaksanakan dengan lebih mudah dan penubuhan jawatankuasa pelaburan," katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas merasmikan Pelan Startegik MAIK 2020-2030 di Dewan Tok Kenali, di Lundang, di sini.

Tengku Muhammad Rizam (dua,kanan) meletakkan tangan di atas skrin sebagai gimik perasmian Pelan Strategik MAIK 2020-2030 di MAIK, Lundang,hari ini.
Tengku Muhammad Rizam (dua,kanan) meletakkan tangan di atas skrin sebagai gimik perasmian Pelan Strategik MAIK 2020-2030 di MAIK, Lundang,hari ini.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua MAIK, Zulkifle Ab Rahman dan Mufti Kelantan, Datuk Mohd Shukri Mohamad.

Tengku Muhammad Rizam juga berharap blueprint akan membantu menarik minat lebih ramai penyumbang zakat pada masa akan datang.

Blueprint Pelan Strategik MAIK 2020-2030 mempunyai enam teras utama iaitu pengembangan dan pengukuhan dana baitulmal, peningkatan kecemerlangan tadbir urus zakat dan wakaf serta pembangunan dan perlaksanaan program dakwah dan pembangunan umat yang efektif.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, tiga lagi teras lain ialah peningkatan keberkesanan peranan institusi masjid, pembangunan projek sosio ekonomi yang mampan pemasyhuran adat istiadat Melayu.

Empat faktor asas yang menyokong pelan strategik itu ialah pembangunan jaringan kerjasama strategik, penubuhan dan pemerkasaan institusi kursus, penambahbaikan sistem dan proses kerja serta pengukuhan organisasi dan modal insan.