Empat daerah di Sabah dikenakan PKPDB

Empat daerah di Sabah iaitu Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna dikenakan PKPDB secara pentadbiran berkuat kuasa 12.01 tengah malam ini (29 September) sehingga 12 Oktober depan. - Foto sumber internet
Empat daerah di Sabah iaitu Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna dikenakan PKPDB secara pentadbiran berkuat kuasa 12.01 tengah malam ini (29 September) sehingga 12 Oktober depan. - Foto sumber internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat daerah di Sabah iaitu Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran berkuat kuasa 12.01 tengah malam ini (29 September) sehingga 12 Oktober depan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPDB yang melibatkan 962,661 penduduk itu dilaksanakan bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 di empat daerah itu serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan terdapat 1,195 kes positif jangkitan Covid-19 di Daerah Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna dalam tempoh 1 hingga 27 September 2020 dan daripada jumlah itu Lahad Datu merekodkan 241 kes, Tawau (634 kes), Kunak (65 kes) dan Semporna (255 kes).

“Mengambil kira jumlah kes itu, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr Adham Baba) telah memutuskan untuk melaksanakan arahan PKPDB secara pentadbiran di kawasan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menjelas lanjut Ismail Sabri berkata, dalam tempoh pelaksanaan PKPDB, semua penduduk tidak dibenarkan keluar dari kawasan terlibat dan bukan penduduk dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke empat daerah terlibat sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

Semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis barangan keperluan dan perkhidmatan penting di empat daerah terlibat, sementara pangkalan perubatan akan dibuka di kawasan PKPDB itu.

Malah, katanya, semua laluan keluar masuk ke kawasan PKPDB akan ditutup.

“Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Pihak Berkuasa Tempatan dan pegawai yang diberi kuasa akan mengawal seluruh kawasan terlibat.

Artikel Berkaitan:

Bagi pelaksanaan perintah ini, semua penduduk diminta supaya bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” katanya.

Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah di talian khas iaitu Lahad Datu (089-881255), Tawau (089-752222), Kunak (089-851222) dan Semporna (089-782020). - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: KKM sasar saring 30,000 individu di Tawau, Lahad Datu