Perokok dapat kebenaran cabar larangan merokok

- Foto Bernama
- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tujuh individu bertindak mewakili diri sendiri dan perokok yang menyokong usaha Pro-Tem Pertahankan Hak Perokok mendapat kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar larangan merokok di semua premis makan yang dikuat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 1 Januari 2019.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu dalam kamar selepas mendengar sebutan bagi permohonan kes berkenaan di hadapannya di sini, hari ini.

Bagaimanapun, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang bertindak bagi tujuh individu itu berkata Mahkamah Tinggi menolak permohonan pemohon untuk menggantung penguatkuasaan larangan merokok dengan alasan mahkamah tidak berhak menggantung keputusan membabitkan operasi perundangan.

Mohamed Haniff Khatri yang ditemui pemberita selepas prosiding berkenaan berkata permohonan penggantungan itu juga tidak relevan kerana KKM telah mengeluarkan arahan bahawa penguatkuasaan akan dilaksanakan selepas enam bulan.

Pada 2 Jan lepas, KKM membuat kenyataan tidak akan mengeluarkan sebarang kompaun dalam tempoh enam bulan pertama penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan, sebaliknya hanya notis amaran akan dikeluarkan kepada pesalah.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Februari ini untuk pengurusan lanjut kes itu.

Tujuh individu itu ialah Mohd Hanizam Yunus, 52, Zulkifli Mohamad, 56, Mohd Laisani Dollah, 46, Mohd Sufian Awaludin, 35, Ridzuan Muhammad Noor, 52, Mohd Yazid Mohd Yunus, 48, dan Yuri Azhar Abdollah, 39, yang telah memfailkan permohonan secara ex-parte atau sebelah pihak di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui pemfailan e-filing, menerusi Tetuan Haniff Khatri.

Dalam permohonan itu, kesemua pemohon yang bertindak mewakili diri sendiri dan perokok yang menyokong usaha Pro-Tem Pertahankan Hak Perokok menamakan KKM sebagai responden.

Artikel Berkaitan:

Dalam permohonan itu, pemohon menyatakan bahawa larangan merokok itu bertentangan Perlembagaan Persekutuan kerana ia bukan aktiviti jenayah dan aktiviti terbabit sah daripada segi undang-undang yang dijamin perlembagaan.

Menurut mereka, perokok mempunyai hak sama rata dengan golongan tidak merokok untuk mengunjungi dan meluangkan masa di premis makan.

Rakyat Malaysia yang merokok secara konstruktifnya diketepi dan didiskriminasi daripada mengunjungi serta menikmati kemudahan di premis makan melalui larangan merokok. Ia bertentangan dengan peruntukan dan prinsip undang-undang dan salah prosedur kerana responden tidak pernah berjumpa perokok atau pihak berkepentingan bagi membincangkan penguatkuasaan larangan.

Selain itu, kata mereka, kerajaan juga tidak memperuntukkan kemudahan kawasan merokok yang terasing atau memberi peruntukan untuk pengusaha premis makan melaksanakan budi bicara masing-masing untuk mengadakan kawasan merokok asing.

Oleh yang demikian, mereka memohon suatu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan kementerian dan memohon perisytiharan bahawa keputusan penguatkuasaan itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga memohon perintah larangan bagi menghalang responden sama ada melalui dirinya sendiri atau ejen atau wakil daripada menguatkuasakan larangan berkenaan.

KKM mengeluarkan arahan merokok di semua restoran dan premis makan berkuat kuasa 1 Jan 2019 melibatkan semua premis makanan seperti restoran tertutup, berhawa dingin dan warung konsep terbuka.

KKM diwakili Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan. - Bernama