Sindiket edar ganja 'terjerat'

Rajab (tiga dari kiri) menunjukkan antara ganja yang dirampas dalam serbuan berasingan di sekitar ibu kota, baru-baru ini pada sidang akhbar di Balai Polis Setiawangsa, Kuala Lumpur hari ini.
Rajab (tiga dari kiri) menunjukkan antara ganja yang dirampas dalam serbuan berasingan di sekitar ibu kota, baru-baru ini pada sidang akhbar di Balai Polis Setiawangsa, Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan sindiket pengedaran dadah tumpas dengan rampasan ganja berjumlah RM154,250 dalam serbuan berasingan di sekitar ibu negara, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, dalam serbuan pertama pada Khamis lalu, seorang lelaki ditahan dengan rampasan lima ketulan mampat disyaki ganja di Taman Melati kira-kira jam 3.40 petang.

Katanya, soal siasat kemudian membawa tangkapan empat lelaki termasuk seorang warga Indonesia dalam serbuan kira-kira jam 11 malam hari yang sama di Kampung Baru selain rampasan sebanyak 20 ketulan mampat disyaki ganja.

"Susulan itu, sebuah kereta utiliti sukan jenis Grand Cherokee yang dipercayai dijadikan sebagai tempat simpanan dadah berjaya ditemui di Kampung Baru kira-kira jam 12.45 tengah malam.

"Pemeriksaan di dalam kenderaan menemui 35 ketulan mampat disyaki ganja dengan anggaran berat lebih 35 kilogram (kg) sebelum penahanan seorang lagi suspek lelaki yang disyaki adalah pemilik kenderaan terbabit," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Setiawangsa, di sini hari ini.

Polis merampas ganja bernilai RM154,250 dalam serbuan berasingan di sekitar ibu kota, baru-baru ini.
Polis merampas ganja bernilai RM154,250 dalam serbuan berasingan di sekitar ibu kota, baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau percaya sindiket yang aktif sejak Ogos tahun lalu itu memperoleh bekalan ganja dari negara jiran sebelum diedar kepada tokan. Siasatan masih dijalankan untuk mengesan saki baki ahli sindiket terlibat.

Rajab berkata, jumlah keseluruhan rampasan dadah adalah seberat kira-kira 61.2 kg dengan anggaran nilai RM154,250.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, ujian saringan air kencing juga mendapati kesemua suspek berusia 42 hingga 57 tahun itu positif dadah jenis syabu dan ganja.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 2 Ogos depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1956/63," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: APMM rampas 537kg ganja terapung di laut