X

Kindly register in order to view this article
!

Belanjawan 2021: Kerajaan komited bantu usaha pulih PKS

Tengku Zafrul (dua dari kiri), Nor Shamsiah (dua dari kanan), Mohammed (kiri) dan Mohd Zamree bergambar bersama pada Anugerah Institusi Kewangan dan PKS ke-25 Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), Kuala Lumpur hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan komited untuk terus membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam mengemudi usaha pemulihan mereka menjelang Belanjawan 2021, menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, langkah ini boleh dilakukan menerusi sokongan yang berterusan dalam pendigitalan dan automasi berdasarkan asas daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Prihatin PKS Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin bagi mendorong peralihan itu.

Katanya, kerajaan juga akan membantu PKS mempercepatkan pelaksanaan pendigitalan dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 6 November ini.

“Rekod telah menunjukkan bahawa PKS belum beralih sepenuhnya kepada teknologi dan digital penting.

“Kita perlu meningkatkan kesedaran bahawa menerusi pendigitalan, PKS akan mencapai jangkauan pasaran yang lebih meluas dan di peringkat serantau, dan bagaimana institusi kewangan kita boleh membantu mereka dalam proses ini,” katanya ketika berucap pada Anugerah Institusi Kewangan dan PKS ke-25 Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), di sini hari ini.

Menerusi Belanjawan 2021, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan turut membimbing PKS ke arah daya tahan dan kemampanan perniagaan memandangkan kebanyakan PKS melaksanakan strategi pertumbuhan yang tinggi untuk membuat keputusan dan ini memberikan sedikit ruang kepada mereka untuk memberikan respons berkesan terhadap kejutan ekonomi.

“Perniagaan juga perlu mengimbangkan keutamaan untuk membantu mereka kekal bertahan tanpa mengira perubahan landskap operasi semasa dan kerajaan melihat bagaimana kemampanan boleh menjadi asas dengan mewujudkan langkah-langkah berteraskan PKS,” katanya.

Mengenai masa depan, beliau berkata, walaupun masih samar mengenai tempoh vaksin Covid-19 akan ditemui dan dihasilkan secara komersial, banyak faktor yang ketika ini meletakkan Malaysia di kedudukan utama untuk mengambil peluang daripada perubahan landskap ekonomi.

Faktor-faktor itu ialah: pertama, kemampuan Malaysia yang diiktiraf di peringkat global untuk mengawal Covid-19 yang menjadi asas kukuh untuk mempromosi negara sebagai destinasi pilihan untuk melabur di rantau ini, katanya.

“Kedua, lokasi strategik Malaysia dan modal insan yang terlatih, menyokong Malaysia sebagai destinasi yang baik kepada perniagaan untuk ditempatkan semula dari China berikutan ketegangan perdagangan Sino-Amerika Syarikat.

“Ketiga, penerajuan pembiayaan Islam dan ekosistem ekonomi halal yang meletakkan Malaysia sebagai penyedia kewangan Islam inovatif daripada pembiayaan PKS kepada penerbitan sukuk yang bernilai berbilion dolar serta sukuk korporat,” katanya.

Bagi memastikan PKS kekal bertahan selepas Covid-19, Tengku Zafrul berharap, CGC dan institusi kewangan mempunyai usaha yang lebih serius untuk berinovasi dalam produk dan perkhidmatan dengan memanfaatkan kelebihan-kelebihan itu.

“Ini sudah tentu meletakkan negara di kedudukan yang baik untuk fasa selanjutnya strategi 6R - Memperkasa (Revitalise) pada Belanjawan 2021 dan selanjutnya Penyusunan Semula (Reform) di bawah langkah-langkah yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-12 pada Januari 2021,” katanya.

Hadir sama Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, Pengerusi CGC, Datuk Mohammed Hussein dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!