Aubameyang mahu berada dalam Dewan Kemasyhuran Arsenal

Aksi Pierre-Emerick Aubameyang (kiri) ketika cuba melepasi pemain Liverpool, Fabinho pada aksi Perisai Komuniti di Stadium Wembley pada hujung Ogos lalu.
Aksi Pierre-Emerick Aubameyang (kiri) ketika cuba melepasi pemain Liverpool, Fabinho pada aksi Perisai Komuniti di Stadium Wembley pada hujung Ogos lalu.
A
A
A

BINTANG Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang berazam untuk memastikan namanya tersenarai dalam Dewan Kemasyhuran (Hall Of Fame) kelab berkenaan suatu hari nanti.

Penyerang Gabon itu berkata, perkara berkenaan boleh dilakukannya apabila membantu skuad The Gunners itu memenangi trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) selain layak beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Menurut penyerang Gabon itu, perkara berkenaan adalah antara pelan jangka pendek serta jangka panjangnya selama khidmatnya masih diperlukan di Emirates.

"Bagi saya semua orang (pemain) ada perancangannya yang tersendiri. Untuk maju ke hadapan dan meletakkan kembali kelab ini ke tempat di mana sepatutnya ia berada.

"Ia bukannya hanya beberapa tahun sejak kali terakhir Arsenal beraksi dalam Liga Juara-Juara. Perkara ini adalah sesuatu yang 'menyakitkan' untuk saya dan juga pasukan ini.

"Bila anda memenangi trofi, anda pasti mahu memenanginya lagi dan inilah sebabnya untuk kami mahu kembali bertanding; pertamanya untuk trofi EPL dan kemudian kembali semula dalam saingan Liga Juara-Juara," katanya.

Untuk rekod, penyerang Gabon itu telah menjaringkan 72 gol sepanjang 112 penampilannya bersama skuad The Gunners itu dan ini membuatkannya bertekad untuk menempatkan dirinya dalam senarai Dewan Kemasyhuran kelab berkenaan sebelum khidmatnya di Emirates berakhir.

Sebelum ini Aubameyang dikaitkan dengan perpindahan apabila kontraknya berakhir penghujung tahun ini; bagaimanapun kontrak itu disambung selama tiga tahun lagi pada awal September ini setelah menolak tawaran dari gergasi La Liga, Barcelona.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Aubameyang mengharapkan agar dia mampu membantu Arsenal untuk memenangi trofi EPL musim ini sebagai antara satu kriteria yang melayakkannya bergelar pemain lagenda The Gunners.

"Saya berharap untuk membantu Arsenal memenangi EPL kali ini. Ia memang mudah untuk diperkatakan, tetapi saya masih ada tugas yang perlu diselesaikan.

"Saya masih jauh untuk berada sebaris dengan pemain-pemain lagenda yang lain, tetapi dalam masa sama, saya tahu saya boleh mencapai tahap sedemikian," katanya.