Amir Hamzah dipilih semula Presiden PKIBM

Amir Hamzah Md Isa
Amir Hamzah Md Isa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa telah dipilih semula sebagai Presiden Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera bagi penggal 2020/2023.

Pelantikan tanpa bertanding itu dibuat secara sebulat suara pada sesi pemilihan sempena Mesyuarat Agung Tahunan PKIBM 2019 ke-20 yang berlangsung di Menara Arina UNITI di sini baru-baru ini.

Pada sesi pemilihan itu juga, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Pengurusan Penerbangan, Kapten TUDM (B) Ab Manan Mansor dilantik sebagai Timbalan Presiden menggantikan Profesor Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor yang tidak mempertahankan jawatan pada pemilihan kali ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Universiti Geomatika, Profesor Dr Mohaizi Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Teknologi Timur, Datuk Norayini Ali telah dipilih sebagai Naib Presiden I dan II.

Ketua Pegawai Eksekutif Ranaco Education and Training Institute, Ahmad Firdhaus Ramlan serta Ketua Pegawai Eksekutif Murni International College, Dr Ramlee Mohd Junus masing-masing dilantik sebagai Setiausaha Agung dan Penolong Setiausaha Agung.

Ketua Pegawai Eksekutif MSU College, Mohd Adnan Roslie dipilih sebagai Bendahari Agung dan penolongnya disandang oleh Datuk Dr Abdul Murad Ahmad.

Pada majlis yang dihadiri lebih 70 orang perwakilan mewakili 35 daripada 44 IPTS milikan penuh bumiputera yang menganggotai PKIBM, seramai lima Ketua Pegawai Eksekutif lain turut dipilih sebagai ahli jawatankuasa eksekutif bagi penggal 2020/2023.

Artikel Berkaitan:

Amir Hamzah (enam dari kiri) dan Ab Manan (tujuh dari kiri) bersama barisan kepimpinan PKIBM penggal 2020-2023 dan sebahagian perwakilan selepas Mesyuarat Agung Tahunan PKIBM 2019 di Kuala Lumpur.
Amir Hamzah (enam dari kiri) dan Ab Manan (tujuh dari kiri) bersama barisan kepimpinan PKIBM penggal 2020-2023 dan sebahagian perwakilan selepas Mesyuarat Agung Tahunan PKIBM 2019 di Kuala Lumpur.

Mereka ialah Profesor Dr Wan Azizi Wan Sulaiman (Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS), Faizatul Akmar Hisan (Kolej Universiti Agrosains Malaysia), Tina Tajuddin (Kolej Antarabangsa TAJ), Norhisyam Abdul Rahman (Kolej Universiti WIDAD) dan Zahar Ali (Kolej Antarabangsa Perniagaan dan Pengurusan).

Alkmar Nazrul Alias (Kolej Queens) dan Fairuz Kamarulzaman (Kolej Alfa) pula masing-masing dilantik sebagai Auditor Kehormat I dan II.

Dalam pada itu, majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PKIBM itu telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Dalam ucapan perasmiannya, Mohamed Mustafa telah menzahirkan penghargaan kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi ke atas kepimpinan PKIBM dalam membantu Jabatan Pendidikan Tinggi mendepani tempoh yang sukar berikutan pandemik Covid-19.

Menurut Mohamad Mustafa, PKIBM telah terbukti komited serta bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan isu dan menaungi kepentingan usahawan-usahawan pendidikan bumiputera di seluruh negara melalui pendekatan berdiplomasi namun berkesan.

"Kerajaan sentiasa melihat sektor pendidikan tinggi sebagai industri strategik dan semasa awal pandemik Covid-19, PKIBM telah memainkan peranan yang besar dalam menggerakkan usaha memastikan kelestarian dan kelangsungan operasi IPTS di seluruh negara.

"Saya berharap hubungan baik yang sedia terjalin antara Jabatan Pendidikan Tinggi dan PKIBM akan terus dipereratkan," katanya.