X

Kindly register in order to view this article
!

Mashitah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah USIM

Mashitah Ibrahim
A
A

SEREMBAN - Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baharu bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa 28 September 2020 hingga 27 September 2022.

USIM menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Komunikasi Strategik memaklumkan, pelantikan tersebut dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad selaras dengan Seksyen 17(1)(f) Perlembagaan USIM (Wakil Swasta).

“Pengurusan Universiti berbesar hati dan menyambut baik pelantikan ini kerana percaya atas pengalaman yang dimiliki Datuk Dr Mashitah Ibrahim akan mampu memberi sumbangan yang signifikan untuk membawa USIM ke arah pencapaian kemajuan akademik dan organisasi yang lebih cemerlang.

“Universiti turut meletakkan harapan pelantikan ini akan memacu lebih laju agenda Misi USIM 2022 iaitu untuk menjadi Universiti Sains Islam Glokal Berimpak Tinggi dan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa,” kata kenyataan tersebut.

Mashitah pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selama 16 tahun bermula 1988 hingga 2004.

Beliau merupakan lulusan Sarjana Muda Tafsir dan Hadis dari Universiti Al-Azhar Mesir pada tahun 1984 sehingga 1987 serta memiliki Ijazah Sarjana Shariah Islamiyyah dan Doktor Falsafah Shariah Islamiyyah dari Darul Ulum, Universiti Kaherah, Mesir selain memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang ‘Revealed Knowledge and Heritage’ dari UIAM.

Anak kelahiran Kedah itu mula menceburi bidang politik apabila memenangi kerusi Parlimen Baling pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 dan terus diberi kepercayaan oleh kerajaan untuk berkhidmat sebagai Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri selepas itu.

Pada 2008, Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi melantik Mashitah sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri melalui lantikan sebagai Senator.

Beliau turut berkhidmat dan menyumbang dalam pelbagai lapangan lain berkaitan institusi agama Islam, pendidikan dan industri; antaranya sebagai Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia bermula tahun 2012 sehingga kini.

Mashitah juga merupakah Pengarah Grand Commerce Network Sdn Bhd sejak tahun 2014 sehingga kini selain pernah menjadi panel perunding Majlis Perundingan Islam (MPI) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) daripada 2015 sehingga 2018 selain mendapat kepercayaan Majlis Raja-raja sebagai Ahli Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) mulai 2006 sehingga 2014.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!