PSU selamatkan 150,000 syarikat, lebih sejuta pekerjaan

Saravanan pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penghargaan Kursus Pensijilan Program 'HRDF Train-The-Trainer' di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
Saravanan pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penghargaan Kursus Pensijilan Program 'HRDF Train-The-Trainer' di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Sumber Manusia hari ini mendedahkan tanpa Program Subsidi Upah (PSU) yang dilaksanakan kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berikutan pandemik Covid-19, kemungkinan 150,000 syarikat terpaksa gulung tikar dan mengakibatkan lebih sejuta hilang pekerjaan.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, PSU telah membantu mengurangkan pengangguran di negara ini susulan penularan Covid-19 dengan kadar pengangguran menurun dari lima peratus pada Mei kepada 4.7 peratus pada Julai lepas.

Menurutnya, sebanyak RM11.8 bilion daripada RM13.8 bilion peruntukan PSU telah diagihkan dan memberi manfaat kepada kira-kira 300,000 syarikat.

"Baki daripada peruntukan tersebut masih tidak diagihkan berikutan kekangan dari segi kesahihan permohonan, pemalsuan dokumen dan pemohon tidak melengkapkan data seperti akaun bank," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis meraikan graduan kursus pensijilan Train-the-Trainer (TTT) Pembangunan Sumber Manusia Bhd (PSMB) bagi sesi Januari hingga Julai 2020, di sini.

Peruntukan RM13.8 bilion bagi PSU diumumkan Mac lepas bagi membolehkan majikan mengekalkan perniagaan dan pekerjaan susulan Covid-19.

Pada 23 September lepas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan RM2.4 bilion di bawah PSU 2.0 bagi membantu syarikat yang masih terjejas dan dijangka memanfaatkan 1.3 juta pekerja. - Bernama

Artikel Berkaitan: