Perbicaraan kes Ahmad Zahid ditangguh lagi

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya perbicaraannya yang dijadualkan hari ini hingga Rabu, ditangguhkan kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu masih menjalani kuarantin kerana Covid-19.

Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini kerana menurut Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO), beliau perlu dikuarantin di rumah dari 26 September sehingga hari ini.

“Anak guam saya telah melakukan ujian swab sekali lagi selepas lawatan mengejut pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di rumahnya semalam dan keputusannya adalah negatif.

“Hari ini, beliau akan menjalani ujian wajib Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) di rumahnya untuk menentukan sama ada keputusan negatif atau positif. Saya difahamkan ujian itu hanya boleh dibuat pada lewat hari ini.

“Oleh itu, pihak pembelaan ingin memohon penangguhan perbicaraan untuk hari ini, esok dan Rabu,” katanya.

Hamidi berkata, beliau difahamkan Ahmad Zahid mungkin berisiko kerana pada 19 September, beliau bersama calon (Barisan Nasional) bagi kerusi Pitas, Sufian Abd Karim, yang diuji positif Covid-19.

“Sufian dan anak guam saya mengambil gambar bersama... saya merasakan kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan penyebaran virus,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata, pihak pendakwaan tidak membantah penangguhan itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan tarikh perbicaraan untuk hari ini sehingga Rabu.

“Tarikh perbicaraan hari ini sehingga Rabu akan ditangguhkan, kita (perbicaraan) akan bersambung semula pada 12 Oktober,” kata Hakim Sequerah.

Semasa prosiding 21 September lepas, mahkamah membenarkan permohonan Ahmad Zahid untuk menangguhkan perbicaraan yang ditetapkan selama dua hari (21 dan 22 September) kerana beliau perlu menjalani ujian saringan Covid-19.

Ahmad Zahid menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 membabitkan pengubahan wang haram melibatkan wang puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Zahid negatif Covid-19

Ahmad Zahid disahkan negatif Covid-19