UiTM tangguh pendaftaran pelajar dari Zon Merah

Mohd Azraai (tengah) dan Tang Rui (kanan) melihat barangan sumbangan pada Majlis Penyerahan Sumbangan Peralatan Pengajaran dan Pembelajaran oleh Kedutaan China di UiTM Shah Alam hari ini.
Mohd Azraai (tengah) dan Tang Rui (kanan) melihat barangan sumbangan pada Majlis Penyerahan Sumbangan Peralatan Pengajaran dan Pembelajaran oleh Kedutaan China di UiTM Shah Alam hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Universiti Teknologi Mara (UiTM) memutuskan untuk menangguhkan pendaftaran pelajar baharu dan lama dari Sabah dan kawasan zon merah secara bersemuka bagi sesi pengajian yang dijadualkan bermula bulan depan berikutan peningkatan kes Covid-19.

Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Ir Mohd Azraai Kassim berkata, arahan yang sama turut dikeluarkan kepada pelajar dari Semenanjung yang akan mendaftar di kampus UiTM Sabah.

“Pelajar baharu dan lama boleh mendaftar secara dalam talian. Notis mengenai perkara tersebut akan dikeluarkan hari ini. Proses pembelajaran juga akan dijalankan secara dalam talian,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan peralatan pengajaran dan pembelajaran oleh Kedutaan China kepada UiTM, di sini hari ini.

Ditanya mengenai istiadat konvokesyen UiTM yang dijadual berlangsung pada November ini, Mohd Azraai berkata, pihaknya sedang berbincang mengenai perkara tersebut sama ada ia diteruskan seperti biasa atau secara kebiasaan baharu dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Semalam, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyarankan semua institusi pengajian tinggi menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar baharu dan lama dari kawasan zon merah secara bersemuka di kampus masing-masing yang dijadualkan bermula Oktober ini.

KPT mencadangkan proses pendaftaran dan pembelajaran bagi kumpulan pelajar terbabit boleh dilakukan secara dalam talian.

Terdahulu pada majlis itu, sebanyak tiga unit papan pintar (smart board) dan dua unit komputer riba jenama Huawei bernilai kira-kira RM410,000 diserahkan kepada Mohd Azraai oleh Menteri dari Kedutaan China di Malaysia, Tang Rui.

Mohd Azraai berkata, selain untuk penggunaan bagi pengajaran dan pembelajaran, peralatan yang diterima daripada Kedutaan China itu akan turut digunakan untuk penganjuran webinar, majlis rasmi dan mesyuarat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Tang dalam ucapannya berkata, sebagai universiti awam terbesar di Malaysia, UiTM telah mewujudkan lebih banyak peluang kepada pelajar Melayu dari seluruh negara untuk melanjutkan pelajaran.

“Saya harap dengan peralatan disediakan Kedutaan China hari ini, ia akan mengurangkan jarak fizikal antara pelajar di kampus berbeza dengan pembelajaran, komunikasi dan perbincangan secara maya,” katanya. - Bernama