X

Kindly register in order to view this article
!

Kes saman Apandi terhadap Kit Siang bermula April 2021

Mohamad Apandi Ali, Lim Kit Siang
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan tarikh baharu untuk mendengar kes saman RM10 juta yang difailkan bekas Peguam Negara (AG), Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang didakwa memfitnahnya dalam satu artikel berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Datuk Azimah Omar menetapkan 5 hingga 9 April tahun depan untuk perbicaraan itu selepas peguam, M Visvanathan yang mewakili Mohamed Apandi memaklumkan bahawa Kit Siang tidak dapat hadir di mahkamah hari ini kerana beliau sedang menjalani kuarantin Covid-19 selepas ke Sabah baru-baru ini.

Mahkamah sebelum ini menetapkan hari ini hingga 30 September dan 1 hingga 2 Oktober depan untuk perbicaraan kes itu.

Terdahulu, hakim mencadangkan supaya saksi yang disepina oleh Mohamed Apandi memberi keterangan terlebih dahulu memandangkan mahkamah telah menetapkan minggu ini untuk perbicaraan.

Bagaimanapun, peguam Rayveni Asogan yang mewakili Kit Siang memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya mahu berada di mahkamah dan mendengar keterangan saksi.

Mahkamah juga menetapkan 3 Februari tahun depan bagi pengurusan kes yang selanjutnya.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Rayveni mengesahkan Kit Siang sedang menjalani kuarantin selama 14 hari selepas pulang daripada menyertai Pilihan Raya Negeri Sabah.

Pada 5 Julai 2019, Mohamed Apandi memfailkan saman fitnah terhadap Kit Siang dan berdasarkan pernyataan tuntutannya pada 6 Mei 2019, Kit Siang telah menulis dan menyebabkan penyiaran atau penerbitan artikel bertajuk 'Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity’ dalam portal berita Malaysiakini.

Mohamed Apandi mendakwa perkataan yang dikatakan fitnah dalam artikel itu antara lain membawa maksud beliau terlibat dalam jenayah dan bersubahat dalam skandal kewangan 1MDB, seorang yang tidak mempunyai moral dan integriti, tidak beretika dan menyalahgunakan kuasanya sebagai AG pada masa itu.

Mohamed Apandi yang memegang jawatan itu dari 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018, menegaskan bahawa kata-kata fitnah tersebut tidak benar dan ditulis dengan tujuan untuk mencemarkan imej dan kredibilitinya sebagai bekas Peguam Negara Malaysia kerana mahu mendapatkan publisiti murahan.

Beliau menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi am sebanyak RM10 juta serta injunksi bagi menghalang Kit Siang dan/atau ejennya daripada menerbitkan semula perkataan yang dikatakan fitnah dalam artikel berkenaan dan bantuan lain yang sesuai daripada mahkamah. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!