Penagih dadah tegar kena penjara lima tahun

Mohd Anuar (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini selepas dijatuhi hukuman lima tahun penjara, dua sebatan serta dua tahun pengawasan polis.
Mohd Anuar (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini selepas dijatuhi hukuman lima tahun penjara, dua sebatan serta dua tahun pengawasan polis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tidak serik mengulangi kesalahan buat kali ketiga di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB), dua penagih dadah menerima padah apabila masing-masing dijatuhi hukuman lima tahun penjara dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh, Aminurdin Mat Adam, 45, dan Mohd Anuar Zulkifli, 33, menjalani pengawasan pihak polis selama tempoh dua tahun.

Keputusan dibuat selepas mereka mengaku salah bagi pertuduhan yang dibacakan secara berasingan mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39C (1) (b) ADB 1952 dan dibaca bersama Seksyen 38B ADB 1952.

Mengikut pertuduhan, Aminurdin yang sebelum ini memiliki dua rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 sekali lagi didakwa mengambil dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu, kira-kira jam 8.45 malam pada 23 Ogos tahun lalu.

Bagi Mohd Anuar pula, dia yang memiliki dua rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 didakwa mengambil dadah jenis amphetamine dan methamphetamine juga di tempat sama, kira-kira jam 10 malam pada 19 Julai lalu.

Dengan itu, kedua-dua tertuduh boleh dihukum tidak kurang lima tahun penjara tetapi tidak lebih tujuh tahun dan tidak lebih daripada tiga sebatan di bawah Seksyen 39C(1)(b) ADB 1952, jika disabitkan kesalahan.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 38B ADB 1952 pula, mereka perlu dikenakan perintah pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yuhanis Mohd Roslan di hadapan Hakim Jamaludin Mat, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.