Kemuka laporan palsu, pemilik syarikat direman empat hari

Pemilik syarikat pembekalan pasir (tengah) dibawa pegawai SPRM ke Mahkamah Khas Reman Seremban hari ini.
Pemilik syarikat pembekalan pasir (tengah) dibawa pegawai SPRM ke Mahkamah Khas Reman Seremban hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pemilik syarikat pembekalan pasir direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan laporan palsu pengeluaran pasir yang mengakibatkan kerugian RM100,000.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 41 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Kanan Yusna Khadijah Yusof selepas permohonan dibuat oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Khairi Abdul Karim di Mahkamah Khas Reman Seremban di sini hari ini.

Menurut sumber, pada Mei hingga Ogos 2019, lelaki terbabit menerusi syarikatnya telah mengemukakan laporan doket palsu pengeluaran pasir laut di Mukim Jimah Port Dickson kepada Yayasan Negeri Sembilan.

Berdasarkan siasatan awal, katanya, terdapat penjualan pasir laut yang dibuat oleh syarikat berkenaan kepada sebuah syarikat lain yang tidak dimasukkan ke dalam senarai.

"Penipuan berkenaan telah mengakibatkan kerugian sehingga RM100,000 kepada Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, Yayasan Negeri Sembilan dan Menteri Besar Incorporation (MBI)," kata sumber.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 ASPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Terdahulu, suspek ditahan Selasa lalu dan direman selama enam hari untuk siasatan lanjut yang mana ia sepatutnya berakhir hari ini.

Artikel Berkaitan: