Pembantu pegawai tadbir berdepan 52 pertuduhan terima suapan

Zurina (baju hitam) mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Butterworth tadi.
Zurina (baju hitam) mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Butterworth tadi.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang Pembantu Pegawai Tadbir Universiti Sains Malaysia (USM) mengaku tidak bersalah atas empat kes membabitkan 52 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM135,445.90 di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini.

Zurina Abdul Hamid, 43, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, Zurina menggunakan jawatannya itu untuk mendapatkan suapan dengan mengambil tindakan apabila mengemukakan dokumen DO/Invois dari Syarikat TZP Ventures bagi Borang Pesanan Rasmi untuk pembayaran pembekalan barangan keperluan pejabat dan peralatan sukan.

Tertuduh didakwa mempunyai kepentingan berikutan Syarikat TZP Ventures miliknya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Sukan dan Rekreasi USM di antara 31 Disember 2013 hingga 15 Disember 2017.

Bagi kes pertama, ia melibatkan satu pertuduhan berjumlah RM5,000 manakala bagi kes kedua, melibatkan tiga pertuduhan berjumlah RM17,115.

Sementara itu, bagi kes ketiga, melibatkan 16 pertuduhan berjumlah RM34,706.50 manakala kes keempat melibatkan 32 pertuduhan berjumlah RM78,009.40.

Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang tinggi jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Mohamad Azlan Basri menawarkan jumlah jaminan RM73,000 bagi kesemua pertuduhan selain syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, S Meharaj memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan tertuduh mempunyai masalah kesihatan.

Selain itu, menurut Meharaj, suami tertuduh hanya bekerja sebagai kerani bank untuk menanggung empat orang anak manakala ibu bapanya menghidap sakit kronik.

Meharaj berkata, tertuduh juga berkemungkinan berdepan dengan tindakan digantung kerja kerana kes tersebut sudah dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib USM.

Ahmad Azhari membenarkan tertuduh diikat jamin RM24,000 bagi keempat-empat kes dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 4 November untuk tarikh sebutan semula.