KUFC pasukan berkualiti namun mudah buat silap

Antara aksi menarik pertemuan Kelantan United menentang TFC II di Kota Bharu. - Foto FB Kelantan United
Antara aksi menarik pertemuan Kelantan United menentang TFC II di Kota Bharu. - Foto FB Kelantan United
A
A
A

KOTA BHARU - Ketua jurulatih interim Kelantan United (KUFC), Nazrulerwan Makmor menyifatkan pasukan itu mempunyai kualiti namun terlalu mudah melakukan kesilapan kecil yang membawa akibat besar kepada KUFC.

Katanya, perkara itu boleh dilihat menerusi perlawanan menentang Terengganu II di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini malam tadi yang menyaksikan KUFC tewas 2-3.

"Malam ini (malam tadi) saya tidak boleh terima dua gol mudah dalam jangka masa yang amat singkat dilakukan oleh Terengganu II.

“Tindakan barisan pertahanan malam tadi telah ‘membunuh’ kami. Perkara seumpama itu tidak seharusnya dilakukan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Sehubungan itu juga katanya, beliau akan memberi tumpuan kepada barisan pertahanan KUFC bagi menghadapi baki dua lagi perlawanan dalam saingan Liga Premier berkenaan.

Pada perlawanan itu, gol-gol KUFC dijaringkan oleh Mohd Khairul Izuan Rosli pada minit ke-17 dan Alfusainey Gassama (63’) manakala gol pasukan pelawat dijaringkan oleh Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob (23’) dan Jordan Mintah (24’, 45’). - Bernama

Artikel Berkaitan: