Brazil catat lebih 14,000 kes sehari, orang ramai bersesak di pantai

Pantai Copacabana, Brazil dipenuhi simbolik penghormatan kepada mangsa yang maut akibat Covid-19 di Brazil. - Foto sumber internet
Pantai Copacabana, Brazil dipenuhi simbolik penghormatan kepada mangsa yang maut akibat Covid-19 di Brazil. - Foto sumber internet
A
A
A

SAO PAULO - Brazil pada Ahad melaporkan 335 lagi kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah korban setakat ini seramai 141,741 orang, lapor agensi berita Xinhua.

Menurut kementerian kesihatan, dalam tempoh sama ujian saringan Covid-19 mengesan 14,318 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 4,732,309.

Sao Paulo dan Rio de Janeiro mencatatkan angka korban tertinggi, disebabkan orang ramai bersesak mengunjungi kawasan pantai pada hujung minggu.

Ini berikutan cuaca panas yang melanda Rio de Janeiro dengan suhu mencecah 39.2 darjah Celsius, menyaksikan orang ramai berpusu-pusu mengunjungi pantai Copacabana, Ipanema dan Leblon.

Di Sao Paulo, suhu mencecah 34.5 darjah Celsius, mencatatkan rekod tertinggi untuk tahun 2020.

Bandar Sao Paulo sehingga kini mencatatkan 35,108 kematian diikuti Rio de Janeiro dengan 18,278. - Bernama

Artikel Berkaitan: