Ubati kecacatan pilihan raya demokrasi

Antara pengundi yang menunggu giliran ketika tinjauan hari pengundian Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 di Sekolah Kebangsaan Pulau Gaya. - Foto Bernama
Antara pengundi yang menunggu giliran ketika tinjauan hari pengundian Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 di Sekolah Kebangsaan Pulau Gaya. - Foto Bernama
A
A
A

SEHARI sebelum tiba di Negeri Di Bawah Bayu, saya telah berpeluang untuk menghadiri satu bengkel yang berkongsi pandangan mengenai masa depan demokrasi di Malaysia.

Tiga puluh tahun dari sekarang, di mana negara akan berada dan apa harapan rakyat? Hasil perbincangan panjang lebar, boleh dirumuskan para peserta meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk melihat persekitaran demokrasi yang matang dan bersifat holistik untuk mengembalikan kedinamikan falsafah, amalan dan komponen demokrasi, yang meliputi kerangka luas. Bukan hanya politik tetapi setiap komponen kehidupan.

Dan, ketika tulisan ini dimulakan, Kota Kinabalu, ibu negeri Sabah, kelihatan sibuk dengan pergerakan kenderaan ahli-ahli politik yang terlibat aktif dalam percaturan ke arah pembentukan kerajaan negeri baharu. Hari Ahad yang lazimnya sunyi kelihatan riuh dengan bunyi siren kenderaan-kenderaan yang membawa pemimpin menuju ke Istana Yang di-Pertua Negeri yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kota Kinabalu.

Selepas dua bulan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), pilihan raya umum negeri Sabah yang dinantikan dengan penuh debaran sudah pun berlalu.

Pun begitu, fokus seluruh negara dan negeri Sabah masih ke atas persoalan siapa yang bakal diangkat sebagai Ketua Menteri dan parti yang akan menerajui kerajaan negeri itu.

Ramai calonIni kali pertama dalam sejarah pilihan raya Sabah begitu ramai calon dan parti bertanding dalam pilihan raya – 447 calon dan 16 buah parti merebut 73 kerusi DUN. Dalam pilihan raya umum negeri yang pertama pada 1967, empat tahun selepas pembentukan Malaysia, jumlah parti bertanding adalah kecil.

Ia boleh dihitung dengan jari. Ketika itu juga tidak banyak isu kecuali mengenai masa depan Sabah dengan menyertai Malaysia. Pilihan raya umum tahun 1967, walaupun dalam keadaan yang sukar kerana masalah logistik, telah berlangsung tanpa banyak ketidaktentuan, debaran dan ketidakpastian.

Melainkan dua kerusi dimenangi tanpa bertanding, 30 kawasan dipertandingkan, merekodkan bilangan pemilih yang keluar mengundi sebanyak 88.6 peratus, satu pencapaian terbaik ketika itu.

Artikel Berkaitan:

Keputusan itu mencerminkan pertembungan dua parti yang meraih undi berasaskan kumpulan etnik iaitu UPKO, memperoleh 12 kerusi mewakili etnik Kadazan-Dusun dan USNO yang banyak bergerak dalam kalangan Melayu/Bajau dan lain-lain meraih 12 kerusi, kaum Cina kebanyakannya memilih Persatuan Cina Sabah (SCA) dan parti itu mendapat dua kerusi. Perikatan pula mendapat tiga kerusi dan Bebas satu.

Peruntukan perbelanjaan untuk pilihan raya negeri yang pertama adalah sebanyak RM261,215. Untuk PRN Sabah pada 26 September 2020, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dipercayai memperuntukkan lebih RM180 juta.

Untuk mengadakan pilihan raya umum akan datang, yang disebut-sebut bakal diadakan dalam waktu terdekat, negara memerlukan sekitar RM1 bilion berbanding hanya RM1.4 juta pada 1959.

Bagi Sabah mengadakan pilihan raya mengejut bukan sesuatu yang baharu. Ia pernah disaksikan beberapa kali termasuk pada 1985-86.
Bagi Sabah mengadakan pilihan raya mengejut bukan sesuatu yang baharu. Ia pernah disaksikan beberapa kali termasuk pada 1985-86.

Berbanding dengan pilihan raya negeri Sabah yang pertama 53 tahun lalu, pilihan raya negeri pada 26 September 2020 kelihatan lebih mencabar. Ini pilihan raya mengejut yang diadakan dalam tempoh lebih dua tahun selepas pilihan raya umum lalu yang berlangsung pada Mei 2018.

Bagi Sabah mengadakan pilihan raya mengejut bukan sesuatu yang baharu. Ia pernah disaksikan beberapa kali termasuk pada 1985-86. Kedua, ini merupakan pilihan raya negeri pertama diadakan di tengah-tengah Covid-19.

Selain itu, muncul parti-parti baharu dengan pembentukan gabungan longgar pada saat-saat akhir sebelum hari penamaan calon, sesuatu yang lazim di peringkat negeri.

Malaysia telah melalui 14 pilihan raya umum sejak yang pertama pada 1959. Sabah juga telah melangsungkan 14 pilihan raya negeri dengan yang pertama pada 1967 manakala Sarawak pula telah mengadakan 11 pilihan raya negeri setakat ini, dan bakal mengadakan satu lagi dalam waktu terdekat. Lebih 100 pilihan raya kecil juga telah disaksikan.

Selepas puluhan pilihan raya Parlimen dan negeri rakyat Malaysia kini berhadapan dengan sentimen kurang yakin dengan erti pilihan raya demokrasi terutama sejak selepas 2008. Bukan isu pengurusan pilihan raya tetapi mandat hasil pilihan raya yang dilangsungkan.

Mandat pengundi

Pandangan jitu yang dikongsi oleh beberapa pihak: Adakah mandat pengundi benar-benar dihargai dan dihormati?

Sejauh mana keputusan pilihan raya negeri Sabah kali ini mencerminkan sentimen ini?

Sama ada kita sukai atau tidak, pilihan raya Sabah kali ini telah melontarkan beberapa pengajaran dalam menikmati demokrasi yang lebih membina.

Daripada lebih sejuta pengundi yang layak, hanya 66.61 peratus keluar mengundi kelmarin. Angka itu lebih rendah berbanding ketika pilihan raya umum 2018, yang merekodkan 77.57 peratus.

Peratusan keluar mengundi paling rendah di peringkat Sabah adalah pada 2004 iaitu 64.6 peratus, kali pertama pilihan raya negeri diadakan serentak dan bersama pilihan raya umum Parlimen.

Pengundi Maitah Tandasai mengendong anak kecil semasa mengundi pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 di Sekolah Kebangsaan Mantob Sabtu lalu. - Foto Bernama
Pengundi Maitah Tandasai mengendong anak kecil semasa mengundi pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 di Sekolah Kebangsaan Mantob Sabtu lalu. - Foto Bernama

SPR melihat kadar kali ini sebagai satu pencapaian baik ketika negeri itu sedang menghadapi pandemik Covid-19. Meskipun kadar itu menggembirakan SPR, analisis menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan pemikiran dan harapan dalam kalangan pengundi. Ini bukan sahaja melibatkan pengundi-pengundi Sabah, tetapi juga di peringkat nasional.

Ini membawa kepada polemik sama ada Malaysia harus mengadakan pilihan raya dalam waktu terdekat bagi mengelakkan senario yang sama. Undang-undang mewajibkan pilihan raya diadakan jika wujud kekosongan atau pembubaran.

Ketika ramai membuat spekulasi pilihan raya umum ke-15 bakal diadakan dalam waktu terdekat, usaha perlu diambil untuk mengembalikan keyakinan dan kepercayaan ke atas hasil proses pilihan raya demokrasi.

Kita tidak harus berhenti dengan hanya mengadakan pilihan raya yang efektif sebagaimana diperuntukkan oleh undang-undang. Isu besar adalah sama ada sesebuah pilihan raya itu benar-benar memanfaatkan rakyat atau tidak.

Kredibiliti dan keutuhan kerajaan yang memerintah juga sama penting. Wakil rakyat yang dipilih tidak harus mengecewakan rakyat. Jika tidak sistem demokrasi akan cacat selama-lamanya.

No Image Caption