X

Kindly register in order to view this article
!

Kelantan Warriors diingatkan jangan terlalu selesa

Aksi Kelantan Warriors (kanan) dan Selangor Pistons pada STL Divisyen Premier. -Foto: FB STL
A
A

PEMAIN Kelantan Warriors diingatkan supaya jangan terlalu selesa dengan dua kemenangan straight set yang diperolehi pada Liga Sepak Takraw (STL) Divisyen Premier semalam, tetapi sebaliknya bersiap sedia sekembalinya ke Kota Bharu sebagai persiapan untuk mengharungi aksi pada hujung minggu ini.

Menurut pengurusnya Ahmad Syazwan Muhammad Hassan, sekembalinya ke Kota Bharu pemain perlu kembali berlatih selain memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada bagi mengharungi saingan yang dijangka lebih sengit minggu ini.

“Pastinya kemenangan semalam akan memberikan motivasi kepada semua pemain untuk mengharungi saingan minggu ini, tetapi saya ingatkan pemain agar tidak terlalu selesa.

“Bagi saya, biarpun Kelantan Warriors berjaya memperolehi dua kemenangan berturut-turut minggu lalu, tetapi masih ada kelemahan yang perlu dibaiki untuk perlawanan minggu ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Untuk rekod Kelantan Warriors mempamerkan aksi cemerlang minggu lalu apabila memenangi kedua-dua perlawanan dengan 'straight set' apabila menewaskan Mammoth Pahang 21-18, 21-19 kelmarin sebelum menang 21-19, 21-17 ke atas Selangor Pistons, semalam.

Kelantan Warriors sebelum itu turut mencatatkan kemenangan24-22, 18-21, 21-17 ketika berdepan ATM Guardians pada Jumaat lalu.

Sementara itu, Ahmad Syazwan berkata, percaturan melakukan penggiliran pemain minggu lalu nyata membuahkan hasil apabila kesemua pemain diturunkan menunjukkan prestasi terbaik masing-masing sekali gus memberikan petanda bahawa kesemua pemain Kelantan Warriors bersedia diturunkan pada bila-bila masa.

“Bila kita main tiga hari berturut-turut ia ternyata menguji stamina pemain kita. Sebab itulah kita buat penggiliran pemain dan kita bangga kerana pemain simpanan kita juga sebenarnya memiliki kemampuan yang sama seperti pemain-pemain utama kita.

“Ini membuktikan bahawa pemain-pemain kita sentiasa bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa sahaja,” katanya.

Sementara itu Penang Black Panthers turut mencatatkan kemenangan semalam apabila menewaskan Perak Bison 2-1 (21-15, 15-21, 21-15) manakala PDRM Defenders menewaskan Mammoth Pahang 21-17, 21-19.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!