Pemain Lang Merah yakin KFA lunaskan tunggakan gaji

Kedah antara pasukan yang mewarnai saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini. -Foto: Pahang FA
Kedah antara pasukan yang mewarnai saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini. -Foto: Pahang FA
A
A
A

PEMAIN Kedah yakin tunggakan gaji selama tiga bulan mulai April, Mei dan Jun lalu akan dijelaskan menjelang 30 September seperti pengumuman Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor, semalam.

Permain pertahanan Khairul Helmi Johari berkata, keyakinan itu berdasarkan pembayaran penuh bagi gaji Julai dan Ogos dibuat badan induk bola sepak negeri itu kepada pemain serta pegawai skuad Lang Merah itu baru-baru ini.

Menurut Khairul Helmi, pembayaran gaji berkenaan juga dilaksanakan pada waktu ditetapkan dan setakat ini tiada masalah bagi gaji bulan Julai dan Ogos.

"September nanti juga rasanya tak ada masalah kerana biasanya akan dibayar sebelum tarikh 7 hari bulan. Bagi gaji Julai dan juga Ogos, ia juga tiada ada pemotongan apa-apa.

"Cuma kini pembayaran yang tertunggak adalah bagi April, Mei dan Jun akan diselesaikan sebelum 30 September nanti dan kami yakin pihak pengurusan tertinggi akan dapat menyelesaikannya lebih awal sebelum tarikh yang dimaklumkan," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Terdahulu, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah mengumumkan tunggakan gaji selama tiga bulan (April, Mei dan Jun) akan dijelaskan oleh KFA sebelum 30 September ini

Sementara itu, Khairul Helmi berkata, pengumuman berkenaan nyata memberikan khabar gembira buat kesebelasan skuad Lang Merah itu bagi mengharungi baki dua perlawanan Liga Super berdepan Melaka United 2 Oktober ini diikuti Perak pada 10 Oktober.

Katanya, pengumuman berhubung pembayaran tunggakan gaji itu juga akan memberikan motivasi kepada pemain memberikan aksi terbaik bagi melakar kejayaan pada kedua-dua perlawanan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Bila dapat berita ini boleh nampak motivasi pemain agak tinggi. Cuma semalam (tewas 1-2 kepada Pahang), nasib tidak menyebelahi kami. Mungkin kerana terlalu lama 'berkampung' di Kuala Lumpur berikutan tidak boleh beraksi di Stadium Darul Aman kerana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pentadbiran.

"Mungkin perlawanan dengan Melaka United nanti kita sudah boleh bermain di Darul Aman sebelum kita menentang Perak di Ipoh bagi perlawanan terakhir musim ini," katanya.