Covid-19: Melbourne longgar sekatan

Penduduk di Melbourne boleh melakukan semula aktiviti harian mereka bermula hari ini. - Foto: AFP
Penduduk di Melbourne boleh melakukan semula aktiviti harian mereka bermula hari ini. - Foto: AFP
A
A
A

SYDNEY - Perintah berkurung pada waktu malam dilaksanakan ke atas bandar kedua terbesar di Australia akan ditarik balik bermula hari ini selepas hampir dua bulan sekatan dikenakan di seluruh Melbourne bagi mengawal lonjakan kes jangkitan koronavirus (Covid-19).

Ketua Menteri Victoria, Daniel Andrews berkata, penduduk Melbourne kini bebas untuk bergerak melakukan aktiviti harian mereka termasuk keluar bekerja atau beriadah.

Langkah melonggarkan sekatan itu dibuat selepas 16 kes jangkitan baharu dan dua kematian dilaporkan di Victoria semalam selain kes aktif di negeri itu menurun di bawah 400 kes buat pertama kali sejak 30 Jun lalu.

Menurut Andrews, beberapa sekatan lain akan ditarik balik bagi membolehkan beberapa industri kembali beroperasi dan membenarkan rumah ibadat melakukan upacara keagamaan pada jumlah yang kecil.

Selain itu, sesi persekolahan juga akan kembali dibuka pada pertengahan Oktober depan.

“Kami tidak membuat keputusan ini dengan mudah. Tiada individu berhak meletakkan risiko pada penduduk Victoria dan menyebarkan virus itu. Langkah berjaga-jaga masih perlu diambil,” katanya.

Julai lalu, Melbourne menjadi pusat wabak gelombang kedua jangkitan di Australia yang berpunca daripada individu pulang dari luar negara yang didakwa melanggar perintah kuarantin. - AFP

Artikel Berkaitan: