X

Kindly register in order to view this article
!

Awas bom jangka Covid-19

A
A

BAHANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah telah reda, namun kini isu yang perlu diberi perhatian mendalam adalah bahang Covid-19 yang terus mencatatkan peningkatan kes di Malaysia.

Kadar kebolehjangkitan atau R-naught (R0) yang semakin meningkat di negara ini juga membawa petanda kadar jangkitan juga melonjak dalam kalangan masyarakat.

Sehingga 26 September 2020, terdapat 82 kes baharu yang telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 10,769 kes.

Sabah terus mencatatkan peningkatan dengan 64 kes, dengan 33 kes daripada Kluster Benteng LD dan 25 kes daripada Kluster Bangau-Bangau. Sabah telah merekodkan lapan kluster Covid-19.

Peningkatan kes dan kluster Covid-19 di negeri Sabah masih berterusan dan empat daerah telah dikenal pasti sebagai zon merah.

Lebih membimbangkan ialah jangkitan juga sudah melepasi generasi, malahan kebanyakan mereka yang dijangkiti tidak menunjukkan gejala jangkitan.

Justeru, proses saringan dan pengesanan kontak perlu dilakukan dengan lebih giat dan berkesan.

Penularan Covid-19 di Sabah bukan hanya berlaku di kawasan tertutup seperti penjara (Kluster Benteng Ladad Datu), tetapi mula merebak dalam kalangan komuniti.

Bahaya risiko penularan dalam komuniti jelas dapat dilihat pada Kluster Bangau-Bangau yang mencatat peningkatan kes.

Di Semenanjung pula, apa yang paling membimbangkan adalah pada 26 September sahaja terdapat 11 kes dicatatkan kalangan individu yang pulang dari Sabah.

Jumlah kes pastinya akan meningkat dengan ketara apabila tamatnya PRN Sabah dengan lebih ramai lagi akan pulang ke Semenanjung.

Berikutan peningkatan kes positif Covid-19 yang menunjukkan peningkatan mendadak dan berterusan kes Covid-19 di negeri Sabah khususnya di empat daerah iaitu Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Kunak, kerajaan wajar mempertimbangkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk empat daerah tersebut.

Ia bagi mengelakkan kawasan berkenaan terus menjadi medan merebakkan jangkitan lebih meluas.

Tindakan itu harus dilakukan pada kadar segera bagi mengelakkan orang keluar dan masuk di kawasan terbabit khususnya bagi kes tiada gejala yang mana individu tersebut tidak menjalani kuarantin dan melakukan rutin seperti biasa berikutan mereka sendiri tidak menyedari bahawa mereka dijangkiti.

Iktibar

Ambillah iktibar daripada apa yang berlaku di Kedah apabila pengesanan kes lambat dilakukan sedangkan individu yang positif jangkitan Covid-19 sudah melakukan pergerakan di luar kawasannya sehingga menyukarkan pengesanan.

Akibatnya bilangan kes semakin menular kerana individu yang positif beranggapan mereka sihat dan tiada gejala sedangkan mereka telah menjangkiti orang lain di sekeliling.

Selain itu, petugas pilihan raya, petugas kesihatan, kakitangan penjara dan pekerja asing perlu mempunyai saringan rutin agar mereka tidak menjangkiti orang lain.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menggesa semua masyarakat di Sabah untuk lebih berwaspada dan meningkatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan iaitu terus mengamalkan penjarakan fizikal, kebersihan kendiri yang tinggi terutama mencuci tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizer, memakai pelitup muka terutama di tempat awam, tempat sesak, tempat tertutup dan ketika bersembang pada jarak dekat serta dapatkan bantuan kesihatan sekiranya bergejala.

Sebelum Covid-19 di negara ini menjadi bom jangka yang bakal meletus dengan lebih hebat sehingga menenggelamkan usaha dan kerja keras terdahulu KKM, semua pihak iaitu agensi berkaitan, ahli masyarakat malah individu harus bekerjasama dan menjalankan peranan masing-masing dengan sewajarnya agar ancaman serta ‘letusan’ Covid-19 dapat dikekang dan dikawal dengan sebaiknya.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!