Persepsi terhadap mahkamah syariah

No Image Caption
A
A
A

WALAUPUN bergelar negara Islam, masyarakat Malaysia masih mempunyai persepsi bahawa mahkamah syariah berada pada kedudukan kelas kedua berbanding mahkamah sivil.

Ada juga yang secara sinis mengatakan mahkamah syariah hanya membicarakan kes-kes khalwat dengan penglibatan pihak-pihak tertentu yang menggunakan pendekatan mengintip dan mengintai bagi membuat pendakwaan di mahkamah.

Itulah imej mahkamah syariah bagi pihak-pihak tertentu. Walaupun mahkamah syariah melalui pelbagai perubahan dari segi pentadbiran, bidang kuasa, personel dan juga taraf, ia masih menerima kritikan pelbagai pihak. Kritikan yang dibuat sudah pasti menekankan kelemahan-kelemahan institusi kehakiman syariah di Malaysia.

Antara teguran utama yang sering dipaparkan atau dikongsi di media sosial adalah terlalu banyak kes tertangguh dan prosedur mahupun keputusan yang dilihat sebagai menindas plaintif yang kebiasaannya golongan wanita.

Perkongsian sebegitu menyebabkan masyarakat yang tidak terlibat secara langsung dengan mahkamah turut marah sehingga terikut-ikut mengkritik mahkamah syariah.

Sebagai contoh, beban pembuktian adalah ke atas plaintif yang mungkin seorang isteri yang teraniaya. Jika mendakwa dipukul, plaintif perlu mendapatkan laporan hospital.

Penderaan mental pula sukar dibuktikan tanpa rawatan psikiatri di hospital. Jika ada bukti sekalipun apabila difailkan perceraian, defendan (suami) masih boleh melengahkan perbicaraan.

Ketidakhadiran defendan adalah sesuatu yang biasa atau kerap berlaku walaupun saman telah diserahkan dengan tangan dan diterima.

Artikel Berkaitan:

Alasan biasa adalah tidak ada masa, sibuk, ada kerja dan sebagainya. Mahkamah akan memberikan tarikh lain yang sudah semestinya bukan sehari dua dari tarikh asal. Mungkin sebulan dua atau lebih lama.

Tarikh yang kedua juga begitu. Defendan tetap culas untuk menghadirkan diri dengan alasan yang dibuat-buat sehingga waran tangkap pula dikeluarkan.

Adakah mereka tidak takut dengan waran tangkap? Adakah waran tangkap kes syariah tidak sekuat waran tangkap untuk jenayah sivil?

Sebenarnya tidak. Pelaksanaan waran tangkap kes syariah melalui penguat kuasa agama sama sahaja dengan waran tangkap kes jenayah sivil.

Cuma sebelum ini, pihak jabatan agama banyak bertoleransi dan berlembut dalam isu kekeluargaan, namun akibat sikap sambil lewa pihak defendan yang semakin menjadi-jadi, mahkamah telah mula mengubah pendekatan kepada terus tangkap tanpa amaran.

Proses perbicaraan yang mengambil masa yang lama disebabkan penangguhan kes dan kelewatan menyelesaikan kes seperti perceraian serta tuntutan nafkah mengakibatkan tekanan perasaan, menyebabkan wanita yang teraniaya menjadi marah, beremosi dan kecewa.

Lebih teruk lagi, penangguhan kes biasanya akan meningkatkan kos guaman yang sedia tinggi.

Kes-kes tertangguh di mahkamah bukanlah asing dan ia juga adalah masalah di mahkamah sivil. Penangguhan kes adalah suatu tindakan yang dibenarkan dan diperuntukkan dalam undang-undang.

Tujuan penangguhan sesuatu kes ke tarikh yang lain dalam beberapa keadaan bertujuan memberi keadilan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam prosiding.

Umpamanya, untuk mendapatkan keterangan daripada pihak-pihak yang terlibat, saksi-saksi atau untuk mengeluarkan perintah penghakiman.

Tidak kira plaintif atau defendan mahupun peguam dan mahkamah, tegakkanlah keadilan kerana apa juga tindakan kita, semuanya akan ditanya dan diadili ALLAH SWT.

Semoga persepsi negatif terhadap mahkamah syariah boleh diubah dengan usaha menambah baik secara berterusan melalui pelaksanaan audit yang telus. Ia penting demi menjaga integriti institusi kehakiman syariah dan imej Islam itu sendiri.

* Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan.