Melawat semula kes Nizar, Zambry

No Image Caption
A
A
A

NEGARA dikejutkan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa beliau mahu mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mempersembahkan sokongan majoriti ahli Parlimen yang dikatakan menyokongnya untuk menjadi Perdana Menteri.

Menurut Ketua Pembangkang itu, kerajaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang apabila majoriti ahli Parlimen tidak lagi menyokong Ahli Parlimen Pagoh tersebut.

Ahli akademik, Profesor Dr Shamrahayu Ab Aziz dilaporkan memberi pandangan bahawa hanya perdana menteri layak untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong mengenai sokongan yang diberikan ahli-ahli Parlimen.

Menurut Shamrahayu, sekiranya Anwar memiliki akaun bersumpah sekalipun, ia tidak boleh dibawa kepada Seri Paduka Baginda kerana jawatan Perdana Menteri masih belum dikosongkan.

Beliau dilaporkan berkata, Anwar perlu menggunakan saluran demokrasi iaitu Dewan Rakyat melalui usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin bagi membuktikan Ahli Parlimen Pagoh itu hilang kepercayaan majoriti.

Dengan hormat, pandangan itu tidak selari dengan duluan (precedent) dalam kes Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin melawan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang diputuskan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2010.

Kes tersebut berkaitan konflik politik yang berlaku pada tahun 2009 di Perak. Kerajaan Pakatan Rakyat Perak ditumbangkan dan digantikan dengan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Seramai tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak mengalih sokongan mereka daripada Menteri Besar Pakatan Rakyat, Mohammad Nizar kepada calon Menteri Besar BN, Zambry.

Artikel Berkaitan:

Antara isu yang perlu diputuskan dalam kes tersebut adalah sama ada sokongan kepada seorang menteri besar perlu ditentukan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) atau ia boleh diputuskan Ketua Negeri (dalam kes Perak, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ketika itu) di luar DUN.

Sokongan

Almarhum Sultan Perak berjumpa dengan tiga ADUN yang mengalih sokongan daripada Mohammad Nizar, menteri besar ketika itu dan menyokong Zambry. Tidak ada undian dijalankan di dalam DUN.

Mahkamah Persekutuan memutuskan dalam kes tersebut bahawa tidak ada apa-apa peruntukan dalam perlembagaan negeri Perak yang menyatakan bahawa kehilangan keyakinan kepada menteribesar hanya boleh dibuktikan melalui undian dalam DUN.

Keterangan kehilangan keyakinan kepada benteri besar boleh dikumpul daripada sumber-sumber luar yang lain jika mereka telah dibuktikan dengan betul. Dalam erti kata lain, kehilangan sokongan kepada menteri besar tidak perlu dibuktikan hanya melalui sidang DUN.

Walaupun duluan di Perak itu berlaku dalam konteks negeri Perak tetapi oleh sebab peruntukan undang-undang mengenai isu tersebut adalah sama untuk Persekutuan, maka ia juga mengikat kepada situasi seorang Perdana Menteri yang dikatakan hilang sokongan dan juga negeri-negeri lain.

Sebab itu, perkara yang sama juga berlaku baru-baru ini di negeri-negeri seperti Kedah dan Melaka di mana kerajaan negeri beralih tanpa undian dalam DUN.

Maka, jika benar Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan majoriti, ia boleh ditentukan tanpa perlu mengadakan undi tidak percaya terhadapnya di Dewan Rakyat.

Ada yang mungkin tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nizar vs Zambry tetapi selagi Mahkamah Persekutuan tidak mengubah duluan itu, ia adalah sah dan mengikat.

* Syahredzan Johan ialah peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur