Sektor perolehan catat aduan rasuah tertinggi

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sektor perolehan adalah sektor tertinggi cenderung kepada rasuah dalam tempoh lima tahun sejak 2013, menurut aduan yang diterima Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkara itu didedahkan dalam dokumen Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 (NACP), yang dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, yang menyenaraikan 10 sektor.

Bagi tahun 2013 hingga 2018, sektor perolehan mencatatkan 42.8 peratus daripada keseluruhan aduan diikuti sektor penguatkuasaan sebanyak 23.9 peratus. Sektor pentadbiran serta perlesenan dan permit masing-masing mencatatkan 13.4 peratus serta 8.6 peratus diikuti sektor pembiayaan dan hasil iaitu 8.1 peratus.

Lima sektor lain iaitu perniagaan dan industri (1.2 peratus), hal ehwal undang-undang dan kehakiman (0.9 peratus), perkhidmatan (0.5 peratus), pelaburan (0.4 peratus) serta pertahanan dan keselamatan (0.1 peratus).

Dokumen itu turut menyenaraikan enam bidang yang berisiko kepada rasuah iaitu tadbir urus politik, pentadbiran sektor awam, perolehan awam, perundangan dan kehakiman, penguatkuasaan undang-undang dan tadbir urus korporat.

“Tadbir urus politik bermaksud penggunaan kuasa atau autoriti oleh pemimpin untuk kesejahteraan negara. Sektor awam mencakupi pengurusan hal ehwal pentadbiran di bawah kawalan Kerajaan. Penyampaian perkhidmatan awam dilihat sebagai faktor penting yang mencerminkan imej negara,” menurut dokumen itu.

Sementara itu, perolehan awam merujuk kepada pembelian barangan, perkhidmatan dan kerja oleh kerajaan dan perusahaan milik awam dan oleh kerana perolehan awam melibatkan sejumlah besar wang pembayar cukai,

“Kerajaan perlu melaksanakannya dengan cekap agar kepentingan awam dilindungi. Perolehan adalah salah satu bidang dalam kerajaan yang paling terdedah kepada rasuah dan pelbagai kegiatan haram,” menurut dokumen itu

Artikel Berkaitan:

Bagi perundangan dan kehakiman, untuk meningkatkan keberkesanan sistem keadilan, adalah penting untuk membuat pembaharuan terhadap beberapa undang-undang sedia ada seperti mengesyor dan memperkenalkan perubahan tertentu.

“Dalam aspek penguatkuasaan undang-undang, kebanyakan agensi penguatkuasaan di Malaysia sering dikaitkan dengan penyalahgunaan kuasa, campurtangan oleh pihak eksekutif, kurangnya kebebasan dan integriti dalam pentadbiran yang akhirnya mendedahkan mereka kepada rasuah. Penguatkuasaan undang-undang dengan itu harus dikaji semula bagi membolehkan mereka menjalankan tanggungjawab berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya.

Bagi tadbir urus korporat, tadbir urus korporat yang baik dapat membantu memastikan syarikat menggunakan modal dengan cekap dan mengambil kira kepentingan pelbagai pihak di mana mereka beroperasi.

NACP adalah satu daripada 61 inisiatif yang diputuskan kerajaan menerusi lima mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) sejak pembentukan kerajaan PH yang bermatlamat menutup ruang dan peluang kepada sesiapa untuk terbabit rasuah.- Bernama