X

Kindly register in order to view this article
!

Sudan tolak syarat AS untuk jalin hubungan dengan Israel

Abdalla Hamdok
A
A

KHARTOUM - Perdana Menteri Sudan, Abdalla Hamdok menegaskan bahawa Khartoum tidak menerima syarat untuk menormalkan hubungan dengan Israel bagi mengeluarkan negara itu daripada senarai keganasan Amerika Syarikat (AS).

"Nama Sudan harus dikeluarkan daripada senarai negara yang menaja keganasan. Sudan sudah kembali ke landasan antarabangsa selepas tiga dekad. Perkara ini perlu berlaku," ujarnya semalam.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas pegawai Washington didakwa meletakkan syarat kepada Khartoum supaya mengikut jejak langkah Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain menjalinkan hubungan dengan Israel sebagai balasan mengeluarkan Sudan daripada senarai keganasan tersebut.

Menurutnya, Sudan sudah menyatakan pendirian mereka ketika lawatan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo pada bulan lalu dan beliau berpendapat kedua-dua isu tersebut sepatutnya tidak dicampur aduk.

"Keputusan menormalkan hubungan dengan Tel Aviv adalah isu yang memerlukan perbincangan mendalam," ujarnya.

Kedudukan negara itu dalam senarai tersebut menyebabkan kerajaan peralihan berdepan kesukaran untuk memulihkan Sudan yang berdepan inflasi dan kejatuhan mata wang sejak Hamdok mengambil alih kuasa pada tahun lalu.

Kerajaan pimpinannya turut menangguhkan sebarang keputusan untuk menormalkan hubungan dengan Israel sehingga tempoh peralihan berakhir.

Minggu lalu, terdapat laporan mendakwa Khartoum sedia menyertai UAE dan Bahrain sebagai pertukaran untuk mendapatkan bantuan ekonomi berjumlah lebih AS$3 bilion (RM12.5 bilion).

Pada tahun 1993, Khartoum diletakkan dalam senarai keganasan selepas bekas Presiden digulingkan, Omar al-Bashir didakwa menyokong keganasan.

Di bawah pemerintahan al-Bashir, Sudan dilihat sebagai musuh ketat kepada rejim Israel. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!