X

Kindly register in order to view this article
!

Cubaan bunuh konstabel PGA: Mizi diburu

Shafien (tengah) menunjukkan gambar Mizi, manakala Timbalan beliau, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah menunjukkan gambar Hafiz pada sidang akhbar di IPK Kota Bharu hari ini.
A
A

KOTA BHARU - Polis memburu seorang lelaki berusia 37 tahun dikenali sebagai Mizi bagi membantu siasatan berhubung insiden cubaan membunuh seorang konstabel Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Lubuk Stol, Rantau Panjang kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 4 pagi itu, konstabel berusia 30 tahun itu diheret sejauh 100 meter menggunakan sebuah pacuan empat roda sehingga mengalami calar pada siku, kelopak mata kanan dan lebam paha kanan.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, Mizi atau nama sebenarnya Muhamad Tarmizi Muhamad beralamat di Kampung Rahmat, Lubuk Stol, Rantau Panjang dicari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh.

“Mizi dipercayai pemandu kenderaan jenis Mitsubishi Pajero yang cuba melanggar konstabel Batalion 7 PGA ketika pemeriksaan dilakukan oleh mangsa.

Muhamad Tarmizi Muhamad, Muhamad Hafiz Sulaiman
Muhamad Tarmizi Muhamad, Muhamad Hafiz Sulaiman

“Mangsa sempat berpaut pada tiang pintu kenderaan itu, bagaimanapun diheret sejauh 100 meter dan dihimpit ke papan tanda di kanan jalan sehingga terjatuh dan cedera,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Konstabel PGA cedera diheret Pajero penyeludup

Shafien berkata, seorang lagi iaitu rakan Mizi dikenali sebagai Muhamad Hafiz Sulaiman, 22, juga dicari polis bagi membantu siasatan berkaitan kes sama.

“Hafiz beralamat di Kampung Kuala Kajang, Tanah Merah diburu bagi membantu siasatan mengikut seksyen sama," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, polis meminta kerjasama daripada semua pihak yang mempunyai maklumat supaya berhubung ke balai polis berdekatan.

Menurutnya, kedua-dua lelaki yang dicari itu turut mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, Mizi mempunyai tujuh jenayah, manakala Hafiz pula dua kes membabitkan kesalahan dadah dan ugutan jenayah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!