Konstabel PGA cedera diheret Pajero penyeludup

Kereta model Proton Wira yang dinaiki anggota PGA kemik teruk pada bahagian belakang selepas dirempuh kenderaan suspek penyeludup dalam kejadian di Kampung Lubok Stol, Rantau Panjang, Jumaat lalu.
Kereta model Proton Wira yang dinaiki anggota PGA kemik teruk pada bahagian belakang selepas dirempuh kenderaan suspek penyeludup dalam kejadian di Kampung Lubok Stol, Rantau Panjang, Jumaat lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang konstabel Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) cedera di paha kanan dan badan selepas diheret kenderaan penyeludup di Kampung Lubok Stol, Rantau Panjang, kelmarin.

Kejadian berlaku pada jam 4 pagi, Jumaat lalu ketika mangsa yang berusia 30 tahun ingin melakukan pemeriksaan ke atas pacuan empat roda model Mitshubisi Pajero yang dipandu suspek.

Ketua Polis Negeri, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, mangsa dalam tugas rondaan bersama seorang koperal terserempak dengan kenderaan suspek dan sebuah lagi model Isuzu Trooper dipandu dalam keadaan mencurigakan di Kampung Limau Purut menghala Lubuk Stol, Rantau Panjang.

Katanya, anggota mengarahkan dua pemandu itu berhenti namun enggan dan dikejar sejauh 10 kilometer (KM) sebelum berhenti di bahu jalan seolah-olah memberikan kerjasama.

“Anggota mendekati cermin bahagian pemandu Mitshubisi Pajero namun secara tiba-tiba suspek bertindak agresif cuba melanggarnya.

“Anggota pantas berpaut pada tiang pintu dan diheret sejauh hampir 100 meter. Kemudian, kenderaan suspek menghimpit konstabel itu ke arah tiang papan tanda di kanan jalan mengakibatkan dia terjatuh,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam usaha mempertahankan diri, konstabel terbabit melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kenderaan suspek.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis negeri, Deputi Komisioner Shafien Mamat (dua, kanan) dan Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Deputi Superintendan Ku Majidin Che Ku Jusoh menunjukkan kesan rempuhan kenderaan model Isuzu Trooper yang digunakan suspek melanggar kereta dinaiki anggota polis model Proton Wira dari arah belakang.
Ketua Polis negeri, Deputi Komisioner Shafien Mamat (dua, kanan) dan Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Deputi Superintendan Ku Majidin Che Ku Jusoh menunjukkan kesan rempuhan kenderaan model Isuzu Trooper yang digunakan suspek melanggar kereta dinaiki anggota polis model Proton Wira dari arah belakang.

“Pada masa sama, pemandu Isuzu Trooper datang dari arah belakang dan merempuh kereta Proton Wira dipandu rakan setugas mangsa iaitu koperal berkenaan sebelum kedua-dua kenderaan suspek itu memecut ke arah Jalan Panglima Bayu.

“Konstabel mengalami calar pada siku, kelopak mata kanan dan lebam paha kanan serta menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Pasir Mas,” katanya.

Beliau berkata, susulan itu polis bertindak atas maklumat menahan tiga lelaki berusia 26 sehingga 45 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di Lubok Stol pada jam 10 malam hari sama dan jam 12.15 tengah malam hari ini.

“Siasatan awal mendapati suspek yang berusia 26 tahun mengaku sebagai pemandu Isuzu Trooper manakala abangnya dikenali sebagai Mizi memandu Mitshubisi Pajero.

“Mereka dipercayai terbabit dalam sindiket penyeludupan minyak masak dan gandum ke Thailand melalui pangkalan haram Tok Ayah di Lubok Stol,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, suspek meninggalkan Isuzu Trooper di dalam kebun sawit di Felda Kemahang 1, Tanah Merah yang kemudian dirampas polis untuk siasatan lanjut.

“Suspek berusia 26 tahun tersebut ditahan reman sehingga Jumaat ini manakala dua lagi dalam proses permohonan reman.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu serta berbahaya,” katanya.