KOM tidak mahu ambil risiko

SM Muthu
SM Muthu
A
A
A

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) kemungkinan tidak menganjurkan sebarang kejohanan sekurang-kurangnya untuk tempoh dua bulan lagi susulan peningkatan kes koronavirus (Covid-19) di negara ini.

KOM sebelum ini merancang menganjurkan kejohanan tertutup pada Oktober, namun Presidennya, Datuk SM Muthu menjelaskan bahawa badan induk sukan olahraga itu merasakan keadaan masih belum betul-betul selamat untuk menganjurkan pertandingan.

Menurutnya, keputusan kemungkinan dibuat pada mesyuarat agung tahunan (AGM) persatuan pada 24 Oktober depan, sama ada menganjurkan kejohanan dalam skala lebih kecil dengan acara tertentu untuk memastikan atlet berada dalam keadaan baik menjelang kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Kami tidak mahu mengambil risiko kerana penganjuran kejohanan akan melibatkan banyak pihak termasuk atlet, jurulatih dan pegawai teknikal. Mungkin kami akan anjurkan kejohanan berasingan mengikut acara seperti kategori lompatan, larian dan balingan.

“Harapan kami, pada tahun depan, jika keadaan mengizinkan, kami bercadang untuk anjurkan dua kejohanan domestik pada setengah tahun pertama. Ia penting kepada atlet untuk melakukan persiapan bagi menghadapi kejohanan kelayakan ke Tokyo dan Sukan SEA Vietnam pada November,” katanya.

Muthu berkata, atlet kurang bernasib baik kerana tidak dapat menyertai mana-mana kejohanan sama ada peringkat domestik mahupun antarabangsa dalam masa terdekat susulan penularan pandemik Covid-19 yang berlaku secara global.

Olahraga Dunia mengumumkan tempoh kelayakan untuk atlet yang belum layak ke Sukan Olimpik Tokyo bermula pada 21 Disember depan hingga 29 Jun tahun depan.

Temasya Sukan Olimpik 2020 ditangguhkan kepada tarikh baharu iaitu pada 23 Julai tahun depan berikutan pandemik Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: