PKPP: 296 pengunjung pusat hiburan dikompaun ingkar PKPP

Polis menyerbu sebuah pusat hiburan di Bandar Bukit Jalil, Kuala Lumpur tengah malam tadi.
Polis menyerbu sebuah pusat hiburan di Bandar Bukit Jalil, Kuala Lumpur tengah malam tadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 296 individu dikompaun akibat ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan berkumpul dan berhibur di sebuah pusat hiburan di Bandar Bukit Jalil, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, Ops Pusat Hiburan kira-kira jam 12.30 tengah malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) serta Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur.

"Operasi ini mengeluarkan kompaun terhadap 296 pengunjung berusia lingkungan 17 hingga 39 tahun termasuk 96 wanita.

"Selain itu, seorang lelaki tempatan iaitu pengurus premis serta tiga warga asing disyaki pelanggan berusia 18 hingga 21 tahun ditahan untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis juga merampas pelbagai peralatan audio selain rampasan minuman keras dan wang tunai.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 serta Seksyen 76 Akta Eksais.

Tegasnya, premis hiburan diberi amaran keras agar tidak menjalankan operasi ketika PKPP masih berkuat kuasa dan pihaknya akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan pemilik premis mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Artikel Berkaitan: