Tukang gunting rambut maut kemalangan

Bahagian depan pacuan empat roda milik mangsa remuk selepas merempuh sebatang pokok di Jalan Nyior Sebatang, pagi tadi.
Bahagian depan pacuan empat roda milik mangsa remuk selepas merempuh sebatang pokok di Jalan Nyior Sebatang, pagi tadi.
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang tukang gunting rambut maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas dan merempuh sebatang pokok dalam kejadian di Jalan Nyior Sebatang, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.10 pagi, S Manikandan, 40, disahkan maut di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dikatakan datang dari arah Sungai Dua menghala ke Pokok Sena.

Menurutnya, kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar sebatang pokok di tepi jalan.

"Orang awam yang melalui kawasan berkenaan bertindak melaporkan kemalangan itu melalui talian kecemasan sebelum pasukan perubatan dan polis tiba di lokasi kejadian.

"Akibat kejadian berkenaan bahagian depan pacuan empat roda terbabit remuk teruk namun mayat mangsa berjaya dikeluarkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: