MIC lihat politik semasa sebelum mohon tambah kerusi: Saravanan

M. Saravanan (kiri) ketika Majlis Perasmian Wisma Tun S. Samy Vellu di Jalan Sarikei Off Jalan Pahang hari ini. -Foto Bernama
M. Saravanan (kiri) ketika Majlis Perasmian Wisma Tun S. Samy Vellu di Jalan Sarikei Off Jalan Pahang hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - MIC akan menilai dan melihat terlebih dahulu persekitaran semasa politik dalam negara sebelum membuat apa-apa permohonan untuk menambah bilangan kerusi yang akan ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Timbalan Presidennya Datuk Seri M Saravanan berkata, bagi PRU-15, MIC berpendirian untuk bertanding di sembilan kerusi Parlimen, yakni sama dengan jumlah kerusi yang ditandinginya pada PRU-14, namun ia tidak akan menolak sekiranya pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) memberikan kepercayaan kepada parti itu untuk bertanding lebih dari jumlah berkenaan.

"Sekiranya tiada muafakat baharu, mungkin kita akan minta lebih (kerusi) sebab ada kerusi-kerusi kosong (yang ditinggalkan) Gerakan," kata Menteri Sumber Manusia itu kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Wisma Tun S Samy Vellu di sini hari ini.

Ahli Parlimen Tapah itu berkata, jentera MIC sudah lama bersedia menghadapi PRU apabila mendengar desas-desus mengenai pilihan raya, dan parti itu telah menyatakan kepada pucuk kepimpinan BN hasratnya untuk bertanding merebut sembilan kerusi Parlimen dan 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pasca PRU-14 menyaksikan MIC berupaya menduduki hanya satu daripada sembilan kerusi parlimen yang ditandinginya, yakni Tapah, selepas kemenangannya di kerusi Parlimen Genting Highlands dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya kemudiannya, manakala parti Gerakan pula bertindak meninggalkan BN selepas kalah dalam semua 11 kerusi Parlimen, dan 31 kerusi DUN yang ditandinginya. - Bernama

Artikel Berkaitan: