Cubaan nelayan Vietnam loloskan diri gagal

Nelayan Vietnam yang ditahan menunggu giliran untuk menjalani saringan Covid-19 di Jeti Zon Maritim Kemaman Jumaat lalu.
Nelayan Vietnam yang ditahan menunggu giliran untuk menjalani saringan Covid-19 di Jeti Zon Maritim Kemaman Jumaat lalu.
A
A
A

KEMAMAN - Cubaan 22 awak-awak termasuk dua tekong melarikan diri dalam operasi dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di dua lokasi berasingan gagal apabila bot mereka ditahan Jumaat lalu.

Kedua-dua bot berkenaan dikesan ketika nelayan terbabit sedang menangkap ikan pada jarak 130 dan 131 batu nautika dari Pantai Kuala Kemaman di sini.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, bagaimanapun, bot berkenaan memecut laju selepas ternampak kapal ronda Maritim dan berlaku kejar-mengejar sebelum anggotanya berjaya memintas dan menahan bot itu sejam kemudian.

"Mereka sanggup memotong pukat yang sedang ditarik bagi mengelak daripada ditahan. Kami berjaya menahan kedua-dua bot tersebut keluar dari perairan negara," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua nelayan berusia 20 hingga 61 tahun itu gagal menunjukkan lesen bot dan dokumen pengenalan diri serta tiada kebenaran menangkap ikan di perairan negara.

Jelasnya, susulan penahanan itu juga, pihaknya merampas hasil laut seberat kira-kira satu tan, diesel serta peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai keseluruhan hampir RM3 juta.

"Kesemua mereka dibawa ke jeti zon Maritim Kemaman bagi menjalani saringan Covid-19 sebelum siasatan lanjut dilakukan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan dalam perairan negara tanpa kebenaran pihak berkuasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Rashidilhadi berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, sebanyak 89 buah bot nelayan asing telah diusir dari memasuki perairan negara ini.