X

Kindly register in order to view this article
!

Cuepacs gesa KKM lantik petugas tetap

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A

GEORGETOWN - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melantik petugas barisan hadapan perubatan secara tetap.

Presidennya Adnan Mat berkata, beliau menerima maklum balas daripada petugas-petugas itu yang menyatakan mereka menjalankan tugas sebagai lantikan kontrak, malah ada yang menerima lantikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata antara jawatan yang ditawarkan secara kontrak kepada petugas KKM adalah Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Kesihatan, Jururawat dan Pembantu Perawatan Kesihatan.

“Kerajaan telah meluluskan 10,560 waran (perjawatan) dan tiada sebab untuk KKM meneruskan lantikan kontrak kepada barisan hadapan yang telah dilantik ketika ini. Ini adalah amat tidak adil kepada mereka kerana jawatan-jawatan telah diwujudkan.

“Saya mohon supaya petugas perlu dilantik secara tetap, sebagaimana peruntukan yang telah diberi oleh kerajaan melalui waran perjawatan, supaya dapat memberi motivasi kepada perkhidmatan cemerlang mereka dalam usaha membanteras penularan wabak Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan Kepada Petugas Barisan Hadapan di sini hari ini.

Majlis pada hari ini menyaksikan Cuepacs menyampaikan penghargaan kepada 12 wakil agensi yang bertugas semasa PKP di Pulau Pinang. Majlis ini diadakan secara jelajah di seluruh Malaysia, bagi menghargai jasa petugas-petugas barisan hadapan di negeri masing-masing.

Dalam pada itu, beliau memohon kerajaan Pusat supaya memberikan bonus yang ditetapkan secara bulanan kepada penjawat awam dan bukannya sebagai bantuan khas kewangan seperti kelazimannya.

Katanya, tiada sebab untuk kerajaan tidak mempertimbangkan permintaan pemberian bonus kepada penjawat awam, kerana telah terbukti mereka berkhidmat dengan cemerlang walaupun dengan pertukaran kerajaan malah ketika berlakunya bencana dan pandemik.

“Bonus ini digunakan sebagai keperluan, kerana ia datang bersama musim persekolahan anak-anak. Sebelum ini, kita mohon bonus untuk tiga bulan gaji namun hanya dapat RM500,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan mengetengahkan isu tersebut, semasa pertemuan bersama Kementerian Kewangan pada 7 Oktober akan datang. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!