Tunku Azizah, Tengku Hassanal selesai dimasyhurkan

No Image Caption
A
A
A

PEKAN - Istiadat pelantikan dan pemasyhuran Tengku Ampuan Pahang dan Tengku Mahkota Pahang berlangsung selamat dan sempurna di Balairung Seri Istana Sultan Abu Bakar Pekan, di sini, hari ini.

Aturcara pagi ini dimulai dengan kehadiran dif dif jemputan kalangan Orang Orang Besar, Kerabat Kerabat serta kenamaan mengambil tempat di Balairung Seri, kira-kira jam 10.30 pagi.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri, Datin Seri Burhah Mohammed, tiba kira-kira jam 10.35 pagi diikuti bekas Perdana Menteri, yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang merupakan Orang Besar Berempat dengan gelaran Orang Kaya Indera Shahbandar, bersama isteri, Toh Puan Indera, Datin Seri Rosmah Mansor.

Istiadat dimulai jam 11 pagi dengan keberangkatan tiba Sultan Pahang Al Sultan Abdullah Riayatullah Almustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah bersama Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimumah Iskandariah ke istana; diiringi Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan isteri, Cik Puan Muda Pahang, Julita Aisyah dan Tengku Ariff Temenggong, Tengku Abdul Fahd Muadzam Shah.

Istiadat diteruskan dengan upacara bacaan Titah Pemasyhuran oleh Tengku Abdul Rahman bagi pihak Al Sultan Abdullah.

Mengikut Fasa 1, Perkara 12 A, Undang-Undang Tubuh Bahagian Pertama, Raja Pemerintah boleh melantik permaisurinya menjadi Tengku Ampuan Pahang

"Dan bahawasanya beta berhasrat untuk melantik dan memasyhurkan Tengku Ampuan Pahang. Oleh yang demikian beta Al Sultan Abdullah Riayatullah Almustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah, Raja Pemerintah negeri Pahang dan segala jajahan takluknya dengan kuasa yang diberi di bawah Fasa 1, Perkara 12 A Undang Undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang, Bahagian Pertama dengan ini memasyhurkan isteri beta, Tunku Azizah Aminah Maimunah sebagai Tengku Ampuan Pahang berkuatkuasa pada 22 Januari 2019 bersamaan 16 Jamadilawal 1440 Hijrah,"

Usai bacaan, Tengku Abdul Rahman diiringi Tengku Fadh mempersembahkan titah pemasyhuran kepada Al Sultan Abdullah sebelum diterima oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah.

Artikel Berkaitan:

Upacara kemudiannya disusuli dengan pemasyhuran Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sebagai Tengku Mahkota Pahang di hadapan singgahsana.

No Image Caption

Titah pelantikan dibacakan Tengku Abdul Rahman. Turut mengiringi Tengku Hasanal dan Tengku Abdul Rahman, ialah Tengku Fadh.

"Bahawasanya menurut Fasa 1 Perkara 20, Undang Undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang, iaitu raja pemerintah setelah berunding dengan Jemaah Pangkuan Negeri boleh melantik seseorang yang akan menjadi waris ganti yang boleh digelar Tengku Mahkota atau apa apa gelaran lain sebagaimana yang ditetapkan. Dan waris ganti ini akan menjadi waris ganti Kerajaan Pahang. Dan bahawasanya beta berhasrat unuk melantik dan memasyhurkan Tengku Mahkota Pahang.

Beta, Al Sultan Abdullah Riayatullah Almustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah, selaku Sultan Pahang, atas kuasa yang diberikan kepada beta mengikut Fasa 1 Perkara 20, Undang Undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang. Setelah berunding dengan Jemaah Pangkuan Diraja Negeri pada 22 Januari 2019 dengan ini melantik dan memasyhurkan anakanda beta, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, sebagai Tengku Mahkota Pahang, berkuatkuasa pada 22 Januari 2019 bersamaan 16 Jamadilawal 1440 Hijrah,"

Usai membacakan titah, Tengku Abdul Rahman menyerahkan titah pelantikan tersebut kepada Sultan Abdullah yang kemudiannya diserahkan pula kepada Tengku Hassanal.

Setelah itu, ikrar titah taat setia dibawa kepangkuan Tengku Hasanal untuk dibacakan.

"Bahawa patik, yang telah dikurnakan gelaran Tengku Mahkota Pahang iaitu suatu pangkat kerabat bergelar dan waris ganti bagi negeri Pahang mengakulah patik menjunjung gelaran itu serta taat setia ke bawah duli dan kerajaan ke bawah duli," katanya, sebelum menandatangani surat pelantikan.

Tengku Abdul Rahman dan Datuk Wan Rosdy bertindak selaku saksi turut menandatangani surat pelantikan selepas Tengku Hassanal.

Upacara diteruskan dengan istiadat Menjunjung Duli, sebelum Tengku Hassanal menaiki singgahsana untuk bersalaman dan mencium tangan kedua ayahanda dan bondanya.

Istiadat kira-kira lima minit itu berakhir dengan Tengku Mahkota duduk di singgahsana mendampingi kedua Al Sultan dan Tengku Ampuan Pahang.

Tengku Abdul Rahman kemudiannya membacakan titah pelantikan Al Sultan Abdullah bagi melantik Tengku Mahkota sebagai Pemangku Raja Pahang pula.

"Adalah diperuntukkan iaitu jika sekiranya raja pemerintah dipilih menjadi Yang Dipertuan Agong, raja pemerintah boleh melantik Pemangku Raja atau Jumaah Pemangku Raja untuk menggalas tugas-tugas raja.

"Bahawasanya beta sultan dan raja pemerintah negeri Pahang dan segala jajahan takluknya, atas kuasa diberikan ke atas beta, mengikut Fasa 2 E, Perkara 6 Bahagian Kedua, Undang Undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang dengan ini melantik dan memasyhurkan paduka anakanda beta Tengku Hassanal sebagai Pemangku Raja Pahang," titahnya.

Untuk rekod, Al Sultan Pahang dilantik sebagai sebagai Yang Dipertuan Agong berkuatkuasa 31 Januari 2019 bersamaan 25 Jamadilawal 1440 Hijrah di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Usai pembacaan titak pelantikan tersebut oleh Tengku Abdul Rahman, Al Sultan Abdullah menyampaikan pengurniaan Darjah Kerabat Seri Indera Mahkota Pahang kepada Tengku Hassanal sebelum menyampaikan titah di singgahsana.

Istiadat diakhiri dengan doa yang dibacakan oleh Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Othman.