RM1.5 juta baik pulih empat jeti nelayan

Syed Abu Hussin (tiga dari kanan) bersama 73 penerima bantuan Tabung Anak-anak Bukit Gantang bagi DUN Trong di sini hari ini.
Syed Abu Hussin (tiga dari kanan) bersama 73 penerima bantuan Tabung Anak-anak Bukit Gantang bagi DUN Trong di sini hari ini.
A
A
A

BUKIT GANTANG - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyalurkan peruntukan hampir RM1.5 juta untuk membaik pulih empat jeti nelayan di kawasan Parlimen Bukit Gantang bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin.

Pengerusinya, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, empat jeti terlibat ialah jeti nelayan di Sungai Che Rahmat, Kampung Permatang Laut, Kampung Nibong dan Kampung Menteri yang sudah uzur dan tidak selamat digunakan.

"Kerja-kerja pembaikan bermula bulan hadapan dan dijangka siap paling awal hujung tahun ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bantuan Tabung Anak-anak Bukit Gantang Intensif Parlimen Bukit Gantang di Dewan Serbaguna Sungai Kerang, Trong di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain katanya, LKIM juga kini dalam peringkat perbincangan akhir dengan Majlis Daerah Taiping (MPT) bagi tujuan baik pulih dan membangunkan semula Laman Changkat Jering seperti dicadangkan sebelum ini.

Katanya, dataran perniagaan itu akan melalui proses naik taraf untuk dijadikan pusat pengumpulan dan pengedaran hasil marin dan pertanian.

Syed Abu Hussin (kanan) menyempurnakan gimik perasmian Bantuan Tabung Anak-anak Bukit Gantang Intensif Parlimen Bukit Gantang di Dewan Serbaguna Sungai Kerang, Trong di sini hari ini.
Syed Abu Hussin (kanan) menyempurnakan gimik perasmian Bantuan Tabung Anak-anak Bukit Gantang Intensif Parlimen Bukit Gantang di Dewan Serbaguna Sungai Kerang, Trong di sini hari ini.

"Peruntukan sebanyak RM2 juta sudah disediakan dan kita hanya menunggu persetujuan dan syarat MPT bagi membolehkan kerja-kerja naik taraf bermula," katanya.

Sementara itu, Syed Abu Hussin yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang menyasarkan untuk membuka sekurang-kurangnya 500 akaun tabung anak-anak Bukit Gantang membabitkan peruntukan keseluruhan RM50,000.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, deposit awal sebanyak RM100 telah disumbangkan ke setiap akaun sebagai galakan kepada ibu bapa memulakan simpanan khususnya bagi tujuan pendidikan anak-anak.

"Bagi fasa pertama, sebanyak 73 akaun melibatkan pengundi di DUN Trong telah dibuka dan kita nasihatkan ibu bapa supaya tidak mengeluarkan simpanan ini.

"Hasrat kita sekiranya akaun ini terus aktif, kita akan tambah RM100 lagi setiap tahun ke dalam setiap akaun," katanya.