Hanya calon bersih bertanding PRU15, kata Gerakan

Dominic ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Parti Gerakan di Ipoh hari ini.
Dominic ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Parti Gerakan di Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - Calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan menjalani tapisan ketat sebelum diputuskan untuk mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau How Chai berkata, parti itu tidak akan bertoleransi terhadap calon yang mempunyai rekod dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDM).

“Semua negeri sudah memberi cadangan dua nama calon di setiap kawasan dan mereka yang dicadangkan oleh pemimpin negeri akan diputuskan ahli jawatankuasa pusat.

"Jika ada rekod jenayah atau tidak baik di agensi penguatkuasaan tertentu, kita tidak teragak-agak untuk keluarkan nama mereka dalam senarai calon pada pilihan raya akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Gerakan di sini hari ini.

Menurutnya, calon yang benar-benar bersih akan dipilih untuk bertanding di 25 kerusi Parlimen dan 46 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dianggapnya boleh menang.

“Integriti parti perlu dikekalkan dan tentunya kita tidak akan bertoleransi dalam pemilihan calon bagi memastikan imej bersih ini tidak terjejas,” katanya.

Ditanya mengenai penyertaan dalam Perikatan Nasional (PN), Dominic memaklumkan bahawa pihaknya akan membuat pengumuman dalam tempoh terdekat.

Pada masa sama, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Artikel Berkaitan:

“Gerakan berpendirian bahawa kami akan tetap menyokong kepimpinan Muhyiddin walaupun Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai majoriti bagi membentuk kerajaan.

“Muhyiddin contoh pemimpin berintegriti. Gerakan akan tetap menyokong di bawah kepimpinan beliau dalam menghadapi PRU-15,” katanya.