PKR hormati keputusan rakyat Sabah

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menghormati keputusan rakyat Sabah yang memilih Perikatan Nasional (PN) untuk menerajui negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau berharap agar proses pembentukan kerajaan negeri Sabah dikemudikan dengan aman, bijaksana dan penuh hikmah.

"Saya ingin ucapkan tahniah kepada rakan-rakan Warisan Plus khususnya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang telah memenangi 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), DAP yang memenangi enam kerusi dan UPKO yang berjaya memenangi satu kerusi.

"Tahniah juga diucapkan buat Pengerusi Keadilan Sabah, Datuk Christina Liew di atas kejayaan mempertahan dua kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) serta usaha baik terutama di DUN Sook yang melihat peningkatan hampir dua kali ganda peratus undi buat Keadilan berbanding 2018," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut memohon kepada semua pihak termasuk pimpinan parti akur dengan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membuat saringan dan kuarantin bagi mereka yang baru pulang dari Sabah dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Katanya, peningkatan mendadak kes terutama jangkitan dalam komuniti amat membimbangkan.

"Saya berdoa agar rakyat Malaysia sentiasa patuh prosedur operasi standard (SOP) KKM dan dilindungi dari wabak ini," katanya.

Artikel Berkaitan: