PCS hormati pilihan rakyat

Anifah Aman
Anifah Aman
A
A
A

KOTA KINABALU – Parti Cinta Sabah (PCS) tetap berbangga dengan semua rakyat Sabah yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Presiden PCS, Datuk Seri Anifah Aman berkata, meskipun parti itu tidak mencatat sebarang kemenangan pada PRN lalu, pihaknya menerima dengan rasa rendah hati dan menghormati pilihan rakyat.

“Anak-anak Sabah, PRN kini sudah berakhir, anda semua telah bersuara dan kami menghormati pilihan anda.

“Namun, jangan lupa kita hanya sebuah parti yang sangat baru, tidak sampai dua bulan. Kita masih mendapat sokongan dalam bentuk undi walaupun tidak menang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PRN Sabah: Dua pemimpin parti utama tewas

Anifah berkata, meskipun baru dua bulan namun perjuangan parti itu dilihat sangat panjang sekiranya mempunyai persediaan yang cukup.

“Saya percaya, jika kita sudah lama dalam perjuangan sudah pasti PCS mampu meraih lebih sokongan daripada rakyat Sabah.

“Bagaimanapun, saya sebagai Presiden PCS berharap, walau apa pun terjadi, jangan berhenti daripada terus memperjuangkan hak-hak anda sebagai anak Sabah,” kata beliau lagi.

Sementara itu, Anifah meminta kepada semua calon PCS bagi mengambil iktibar daripada pengalaman PRN Sabah sebagai pengajaran untuk bersedia berdepan dengan cabaran pilihan raya masa depan.

Artikel Berkaitan:

“Pengalaman seperti ini adalah sangat penting untuk kita menilai kekurangan dan juga kekuatan kita dan percayalah PCS akan terus bersama anda dalam perjuangan tersebut,” katanya.